Keadaan terowong yang dinaiki air semasa dilanda banjir berikutan hujan lebat berpanjangan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 07 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding terhadap pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur bernilai RM329.33 juta.

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, PAC akan memanggil Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan keterangan berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 1.

“Kebiasaannya saksi yang pertama akan dipanggil adalah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan dalam kes ini kita juga akan memanggil Menteri untuk memberikan keterangan berkenaan isu-isu yang berbangkit LKAN,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Kah Woh merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 1 yang merumuskan bahawa pengurusan mitigasi banjir Kuala Lumpur masih belum mencapai objektif yang ditetapkan.

Menurut laporan LKAN 2021 Siri 1, cadangan langkah mitigasi banjir fasa jangka pendek (2018-2022) di bawah Pelan Induk yang belum dilaksanakan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Oleh itu, PAC akan memanggil Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah untuk sesi prosiding tersebut.

Kah Woh dalam masa sama turut memberitahu, PAC akan membentangkan laporan berhubung perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan pada Khamis.

“Laporan PAC setebal 250 muka surat ini tidak termasuk hansard prosiding dan dokumen pembentangan akan mempunyai beberapa pembaharuan dan penambahbaikan daripada segi kandungannya dalam memudahkan orang awam memahami isu-isu yang dilaporkan dalam laporan PAC,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Kah Woh berkata pihaknya belum menetapkan tarikh prosiding tersebut. – MalaysiaGazette