KUALA LUMPUR – Bagaikan misi ‘dua dalam satu’, demikian hasrat pemain tengah Terengganu FC, Nik Shariff Haseefy yang bukan sahaja mahu bawa pasukannya ke pentas final Piala FA tetapi mahu buktikan sesuatu kepada Selangor.
Dia yang masih berstatus pemain pinjaman dari Selangor, akui sangat bermotivasi menjelang perlawanan separuh akhir antara kedua-dua pasukan pada Sabtu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Tambahnya, dia masih menghormati majikannya itu namun melihat ini jadi saat terbaik bagi menunjukkan kemampuan sebenar di atas padang.
“Memang kalau diikutkan sangat teruja untuk main perlawanan ini kerana akan berjumpa pasukan sendiri, memandangkan saya masih pemain Selangor dan dipinjamkan ke Terengganu.
“Sepertimana pemain lain, sudah tentu saya mahu buktikan kepada pasukan sendiri yang saya boleh menyumbang setelah gagal dapatkan tempat bermain di sana.
“Selain persaingan sengit sesama pemain, saya lihat mungkin gaya permainan saya tidak kena dengan corak taktikal jurulatih Selangor.
“Saya rasa buat keputusan tepat untuk hadir ke sini kerana dapat peluang bermain di bawah jurulatih, Nafuzi Zain yang banyak beri tunjuk ajar, ” katanya.
Setakat ini, Nik Shariff telah tampil sebanyak sembilan kali bersama Terengganu FC dengan lima daripadanya bermula dalam kesebelasan utama manakala empat lagi dimasukkan selaku pemain gantian.
Pemain berusia 25 tahun itu memulakan karier profesionalnya di Pahang selama tiga musim (2018-2020) sebelum berhijrah ke Selangor pada musim lalu.
Namun, faktor kecederaan pada musim lalu menjejaskan peluangnya untuk beraksi selain perancangan berbeza ketua jurulatih
Selangor, Michael Feichtenbeiner sebelum dipinjamkan ke Terengganu pada pintu perpindahan kedua pemain.
Mengenai peluang pasukannya mencipta sejarah ke perlawanan akhir Piala FA selepas tempoh 11 tahun, Nik Shariff berasakan ini menjadi detik terbaik buat Terengganu.
Tidak berniat memperkecilkan peluang Selangor, pemain yang berasal dari Kuantan ini melihat faktor bermain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan menjadi kelebihan besar buat Terengganu.
“Saya tahu kualiti yang ada pada rakan-rakan di Selangor kerana pernah bersama mereka selama dua musim dan memang mereka sebuah pasukan yang baik.
“Namun saya rasa kelebihan akan memihak kepada Terengganu pada kali ini kerana bermain di laman sendiri dengan diiringi sorakan penyokong setia kami.
“Malah, pemain Terengganu berada di tahap terbaik tiap kali bermain di laman sendiri dan rasa ini detik terbaik bagi bawa pasukan ke perlawanan akhir Piala FA, ” katanya. – MalaysiaGazette