Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Festival seperti Bon Odori dan Oktoberfest bukannya sebahagian daripada budaya negara ini dan Menteri Agama, Senator Datuk Idris Ahmad hanya memberikan pandangan beliau atas kapasiti Jemaah Menteri.

Oleh itu, masyarakat tidak perlu pertikaikan pandangan Idris, kata Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Saya fikir tiada salahnya Menteri Agama menyatakan begitu sebagai Islam dan yang menjaga autoriti agama.

“Sebarang perbezaan dari kefahaman budaya dan agama contohnya Bon Odori dan Oktoberfest yang sebenarnya bukan sebahagian daripada masyarakat kita asalnya, kalau ada perbezaan seperti itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang bangun mempersoalkan kenyataan Idris mengenai kenyataan umat Islam dilarang menghadiri festival Bon Odori di Shah Alam baru-baru ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, perkara itu perlu dihormati pelbagai pihak.

“Menteri telah menyatakan pandangan beliau, saya rasa kita perlu hormat pandangan masing-masing cumanya kita tidak gunakan undang-undang untuk menyekat dari segi kebebasan mana-mana pihak untuk mengamalkan budaya mereka,” katanya lagi.

Jun lalu, Idris dalam kenyataannya mengingatkan umat Islam diingatkan supaya tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan yang tidak mempunyai kaitan dengan Islam terutama ‘Bon Odori’ yang berlangsung di Shah Alam, pada 16 Jun lalu.

Aktiviti tersebut adalah tradisi masyarakat Jepun beragama Budha yang didakwa mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.

Malah kata Idris, perayaan yang diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam itu disahkan mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam. – MalaysiaGazette