Mantan Ketua Polis Negara, Tan Seri Hassan (kiri) bersama Mantan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Negara, Datuk Ishak Mohd Yusof (dua kiri) dan Mantan Peguamcara Negara Jabatan Peguam Negara, Datuk Seri Abdul Razak Musa (kanan) Pakar Kriminologi dan Psikologi Universiti, Prof Madya Dr. Mohammad Rahim Kamaluddin (dua kanan) hadir pada Forum Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Maktab PDRM, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 04 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Musa Hassan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara meminda Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 bagi membolehkan polis mengguna pakai semula akta itu bagi menahan individu yang terlibat dengan jenayah terancang.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu berkata, terdapat keperluan mendesak memindanya, Seksyen 4 dan 15B, yang  menjadi kekangan kepada polis menggunakan sepenuhnya akta tersebut.

“Seksyen 4 menggariskan peraturan untuk majistret mahkamah membenarkan perintah tahanan reman kepada polis terhadap mana-mana penjenayah.

“Sementara Seksyen 15B pula menyekat hakim daripada inkuiri mengenai asas penahanan yang mahu dibuat polis terhadap seseorang penjenayah di bawah POCA.

“Polis diarah untuk menghentikan penguatkuasaan POCA tetapi ini adalah sesuatu perkara yang perlu diperhalusi semula oleh KDN secara serius bagi mengembalikan kuasa kepada polis,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada forum berkaitan POCA di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, dekat sini, hari ini.

Tan Sri Musa Hassan

Pada April lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Seksyen 4 adalah tidak berperlembagaan kerana ia mencabul kuasa kehakiman dan juga mencabul doktrin pengasingan kuasa.

Ia membenarkan rayuan habeas corpus yang dipohon oleh salah seorang ahli sindiket jenayah terancang yang ditahan polis di Johor.

Menurut Musa, sebagai justifikasi kepada hujahnya, polis memerlukan kuasa untuk menjalankan tugas khususnya dalam mencegah jenayah terancang yang melibatkan keganasan, geng kongsi gelap dan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan polis agar tidak menyalahgunakan kuasa mereka sekiranya kuasa POCA dikembalikan kepada pihak berkuasa itu.

Bekas Timbalan Unit Pendakwaraya Jabatan Peguam Negara, Datuk Ishak Mohd Yusof  berkata, tanpa undang-undang pencegahan agak sukar untuk menangkap dalang sesuatu sindiket jenayah terancang.

“Kita sebenarnya mahu diberikan kuasa dalam undang-undang POCA untuk mengenal pasti dan mencekup dalang utama sesuatu sindiket jenayah berat,” ujarnya.

Sementara itu, Pakar Kriminologi dan Psikologi Kriminal Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamad Rahim Kamaluddin berkata, kajian menunjukkan ahli atau sindiket jenayah terancang menilai risiko serta ganjaran yang akan diperolehi.

Pegawai-pegawai polis yang hadir ketika Forum Akta Pencegahan Jenayah 1959 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah Maktab PDRM, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM 04 OGOS 2022.

“Mereka sebenarnya merancang teliti setiap jenayah dengan menilai risiko atau ‘ Risk versus reward factor’.

“Tanpa akta pencegahan jenayah ini, ia akan memberi mereka keberanian dan galakan untuk melakukan jenayah kerana risikonya sudah rendah,” ujar beliau.

Menurut Mohamad Rahim individu yang terlibat dalam geng jenayah terancang boleh belajar melakukan jenayah secara berkesan dan teratur tanpa meninggalkan bukti di tempat kejadian menerusi ilmu dari China dan membawa teknologi dari luar negara.

Tambah beliau, ketua sindiket duduk di luar negara manakala ahlinya terlibat jenayah terancang di negara lain.

“Kalau kita kekal dengan undang-undang konvensional, ia beri peluang luas kepada ramai buat jenayah, itu tak selamat untuk negara dan rakyat, ” ujarnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia akan ketengahkan cadangan yang dikemukakan pada forum itu kepada KDN dan Jabatan Peguam Negara. – MalaysiaGazette