Dr. Fathir Badri Alhadad

KUALA LUMPUR – Malaysia sepatutnya menggunakan sepenuhnya kuota haji tambahan sebanyak 5,000 yang diberikan kerajaan Arab Saudi untuk diuruskan oleh Tabung Haji (TH).

Bagaimanapun Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr Fathir Badri Alhadad mendakwa, TH hanya menggunakan tidak lebih 2,500 sahaja daripada kuota tersebut.

“Mengapa perkara ini boleh berlaku? Sedangkan umat Islam yang menunggu giliran untuk menunaikan haji begitu ramai dan tempoh menunggu terlalu lama.

“Kenapa tidak dibuka kepada lebih banyak agensi pelancongan untuk menguruskannya? Dengan cara ini mungkin keadaan seperti ‘tidak dapat visa’ tidak akan berlaku dan inilah kelemahan monopoli!,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Fathir Badri mendakwa, senario itu antara faktor menyebabkan berlakunya insiden hampir 400 individu yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu.

Beliau menambah, realitinya Arab Saudi hanya mengeluarkan visa mujamallah kepada jemaah haji Malaysia tahun ini dan bukan visa furada seperti yang diperhebohkan.

Jelasnya, ini bermaksud agensi pelancongan yang mendapat visa mujamallah perlu mengeluarkan belanja lebih kerana mereka perlu mendapatkan pakej ground melalui aplikasi disediakan Kementerian Haji Arab Saudi.

“Pakej ini wajib diambil walaupun pihak agensi pelancongan telah mempunyai pakej ground mereka sendiri sebelum ini.

“Pihak Kedutaan Arab Saudi juga telah menghadkan pengeluaran visa mujamallah pada tahun ini kerana seperti kita semua sedia maklum, Arab Saudi perlu berhati-hati untuk mengelak penularan wabak Covid-19 semasa musim haji.

“Ada di antara ahli SAFTTA yang membawa jemaah haji menggunakan visa mujamallah pada musim haji kali ini dan nampaknya tiada sebarang masalah yang timbul setakat hari ini,” katanya.

Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA), Dr. Fathir Badri Alhadad di temubual mengenai monopoli visa furada oleh agensi haji dan umrah dilantik tabung haji di UTC Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 04 OGOS 2022.

Pada masa sama, Fathir Badri menegaskan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tidak boleh dipersalahkan dalam isu haji tersebut.

Menurut beliau, ia jelas di bawah Akta Tabung Haji yang tidak meletakkan MOTAC sebagai kementerian bertanggung jawab, sebaliknya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu memikul tanggungjawab itu dengan sebaiknya.

Tambahnya, kempen kesedaran berterusan perlu diberikan kepada bakal jemaah agar mereka tidak terpedaya dengan tawaran murah untuk mengerjakan haji menggunakan visa mujamallah mahupun furada.

Kelmarin, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat Ahad lalu membabitkan kerugian lebih RM5.67 juta.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, laporan yang diterima setakat 31 Julai membabitkan 336 orang yang menjadi mangsa penipuan tiga syarikat pelancongan swasta.

Kuala Lumpur mencatatkan bilangan laporan tertinggi iaitu 52 membabitkan kerugian kira-kira RM2.3 juta, diikuti Selangor dengan 33 laporan membabitkan kerugian RM966,100.

Sementara itu, 18 laporan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta diterima di Pahang manakala tujuh laporan di Johor dengan kerugian RM226,500 dan masing-masing enam laporan diterima di Kelantan dan Perak membabitkan kerugian keseluruhan RM483,000.

“Kedah mempunyai tiga laporan dengan nilai kerugian RM48,000 dan Terengganu dua laporan babitkan kerugian RM76,000 manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang melibatkan kerugian RM48,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Noorsiah berkata, sebanyak 23 kertas siasatan telah dibuka dengan lima daripadanya akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette