Hasil pemeriksaan berkala pihak Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mendapati beberapa peniaga kedai makan yang masih tidak menitikberatkan soal kebersihan dalam penyediaan makanan dan keadaan ini akan membimbangkan kepada para pengguna serta pelanggan

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengeluarkan 18 notis peringatan kepada peniaga kedai makan yang dikategorikan mempunyai kesedaran terhadap kebersihan yang rendah.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, notis itu dikeluarkan antara 2 Ogos lalu hingga hari ini sebelum kompaun dikeluarkan bermula 7 Ogos ini.

“Pihak majlis akan menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras gerai dan premis makan yang kotor bermula 7 Ogos 2022,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas Norkamawati, MBK akan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada bagi melaksanakan tindakan kompaun, penutupan premis dan pendakwaan di mahkamah demi keselamatan dan kesihatan warga Kuantan.

“Kepada para peniaga dan pengusaha, sila ambil perhatian akan ingatan ini dan pastikan gerai dan premis makanan berada dalam keadaan bersih.

“Ini termasuk cara penyediaan makanan yang bersih dan kebersihan tandas premis atau  peniaga akan berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast