KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi UMNO dilaporkan akan berbincang mengenai kemungkinan pembentangan Bajet 2023 diawalkan ke September untuk “memberi laluan” kepada pilihan raya.
China Press melaporkan, pilihan raya umum seterusnya dijangka disempurnakan sebelum November.
Menurut sumber, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cenderung untuk mengadakan pilihan raya selepas pembentangan bajet, tetapi pemimpin lain pula mahu ia diadakan sebelum bajet.
Kata sumber, cara penyelesaiannya justeru mungkin adalah mengawalkan pembentangan Bajet 2023 ke bulan September.
“Majlis Tertinggi UMNO akan membincangkan kemungkinan mengawalkan pembentangan Bajet 2023 . Secara umumnya, usul ini dijangka disokong.
“Sekiranya menjadi kenyataan, maka pilihan raya mungkin akan diadakan sebelum November,” katanya.
Pembentangan Bajet 2023 pada masa ini adalah dijadual diadakan di Dewan Rakyat pada 28 Oktober.
Menurut sumber, mesej yang dilepaskan Perdana Menteri semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor baru-baru ini seakan-akan menunjukkan hasratnya untuk mengadakan pilihan raya umum pada tahun depan semakin menyusut.
“Ada pihak yang berpendapat tempoh kempen yang terbaik adalah selama 12 hari.
“Jika Bajet dibentangkan pada September, maka pilihan raya umum boleh diselesaikan sebelum November,” katanya. – MalaysiaGazette