Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli bercakap kepada media mengenai piket “Food Delivery Blackout” di ibu negara membabitkan penunggang e-hailing ketika di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2022.

PETALING JAYA – Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak realistik kerana hanya berdasarkan kepada kaum Melayu sahaja.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim berkata, langkah itu dilihat canggung kerana Malaysia sendiri terdiri daripada pelbagai bangsa dan parti politik berlandaskan bangsa sudah tidak relevan.

“Tun Mahathir ini begitulah apabila nak lakukan sesuatu dia pertama sekali adalah parti berasaskan kepada kaum,  mungkin itu cara dia melihat politik tapi kita kena keluar daripada kepompong pemikiran tersebut.

“Sesetengah orang akan anggap ini tidak demokratik dan kita tidak akan menang kalau kita tak tarik orang Melayu, ini bukan cara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Adam Adli berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu yang menubuhkan bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, sekiranya Malaysia terus mewujudkan politik perkauman maka ia tidak mencerminkan hala tuju negara yang semakin dinamik tanpa batasan bangsa.

“Kalau kita katakan bahawa kita suka melihat politik dari kaca mata kaum, kita salahkan orang lain mungkin kita kena tengok diri kita dahulu.

“Soalnya adalah masa depan Malaysia bukan untuk bangsa-bangsa tertentu sahaja, tapi ia adalah berbilang kaum yang sesuai dengan identiti kita sebagai sebuah negara,” katanya lagi.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, gagasan GTA ditubuhkan hanya akan melibatkan ahli-ahli dalam kalangan orang Melayu meliputi parti politik, ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli profesional perseorangan. 

Gerakan Tanah Air sudah disertai empat parti politik berteraskan Melayu setakat ini, iaitu Pejuang, Putra, Berjasa dan Iman.

Malah tegas Dr. Mahathir, asas penubuhan Gerakan Tanah Air itu bukan bertujuan merampas harta masyarakat bukan Melayu atau menyekat mereka daripada berusaha untuk mendapatkan kekayaan, sebaliknya ia berusaha untuk memperbetulkan ekonomi masyarakat Melayu.

Selain Dr Mahathir, jawatankuasa penaja Gerakan Tanah Air turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Dr. Mahathir yakin mendapat sokongan masyarakat Melayu terutama UMNO hanya mampu menang 35 peratus daripada kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu. – MalaysiaGazette