Shahrulufti (dua dari kanan) menyifatkan penggunaan dwibahasa pada sambutan Hari Kemerdekaan ini sebagai tidak wajar.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan mengekalkan bahasa Melayu ketika menyambut Hari Kebangsaan kali ke-65 akhir bulan ini.

Gesaan itu dibuat berikutan terdapat ura-ura berhubung hasrat kerajaan menggunakan dwibahasa Melayu-Mandarin sebagai kata pengantar untuk sambutan itu kali ini.

Tegas Setiausaha Putra Bahagian Gombak, Mohamad Shahrulufti Sharif, kerajaan seharusnya memartabatkan bahasa ibunda untuk mengekalkan pengiktirafan perjuangan bangsa.

Katanya, ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahasa Melayu bahasa utama negara dan rakyat Malaysia.

“Atas kesedaran ini, generasi muda baik Melayu atau bukan Melayu perlu menyanjung tinggi bahasa kebangsaan.

“Kita tidak mahu bahasa ini dicemari oleh gabungan bahasa lain ataupun digandingkan atas tujuan tertentu.

“Malah, sepatutnya kita lebih tegas atas penggunaan bahasa kebangsaan ini untuk terus memperlihatkan bahasa Melayu menjadi teras penggunaan gaya hidup rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Shahrulufti, sebagai rakyat berbilang kaum, seharusnya berbangga penggunaan bahasa ibunda itu menjadi bahasa induk dan penghantar.

Dengan itu, ujarnya, menunjukkan rakyat patuh kepada perlembagaan dan bersedia memartabatkan bahasa Melayu untuk dikekalkan pengunaannya.

“Ini juga sekali gus mempamerkan kepada dunia mengenai keunikan bahasa Melayu yang digunakan oleh pelbagai etnik dan masyarakat berbilang kaum, di samping mewujudkan perpaduan harmoni yang selama ini kita jaga,” katanya.

Pada 31 Ogos ini, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kemerdekaan untuk kali ke-65, suatu tarikh yang menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu apabila secara rasmi menamatkan pemerintahan British.

Jelas beliau, 65 tahun lalu juga, bergemanya laungan “Merdeka” sebanyak tujuh oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman bersama lebih 20,000 rakyat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Justeru, katanya, rakyat Malaysia terutama yang lahir selepas merdeka wajar menghayati erti sebenar kemerdekaan dan lebih bersemangat patriotisme serta cintakan tanah air. – MalaysiaGazette