Sejumlah kura-kura yang merupakan hidupan liar dilindungi yang diletakkan untuk pameran tanpa permit dan lesen khas berjaya dirampas daripada serbuan di sebuah restoran di Bentong Pahang oleh Perhilitan kerana tiada permit khas pihak berkuasa.- Gambar Ihsan Perhilitan Negara.

KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah premis restoran makanan di Bentong, Pahang yang mempamerkan pelbagai spesies kura-kura yang dilindungi tanpa kebenaran akhirnya diserbu pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, premis itu diserbu dalam satu operasi yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Perhilitan bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) kira-kira pukul 5 petang pada 20 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis itu, pasukan berjaya merampas spesies kura-kura yang dirampas adalah Juku Juku Besar, Baning, Chinse Stripe-Necked Turtle, Kura-Kura Katup dan Red-Eared Slider.

“Niai kesemua rampasan kura-kura itu adalah dianggarkan bernilai RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

sebilangan kura-kura yang merupakan hidupan liar dilindungi yang dipamerkan tanpa permit khas berjaya dirampas dari sebuah restoran dalam serbuan oleh Jabatan Perhilitan Negara pada 20 Julai lalu. Ihsan Perhilitan.

Tambah Abdul Kadir, siasatan awal pihaknya mendapati spesies kura-kura yang diletakkan di dalam kolam premis itu dipercayai bertujuan untuk dipamerkan namun tidak mempunyai permit khas pihak berkuasa.

Menurutnya, pemeriksaan di premis sama, pasukannya menyoal siasat seorang wanita tempatan berusia 38 tahun sebelum menahan individu itu untuk membantu siasatan atas kesalahan menyimpan hidupan liar yang dilindungi dan dilindungi sepenuhnya tanpa lesen serta permit khas.

“Kesemua rampasan hidupan liar dilindungi itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar diingatkan agar menghentikan segera kegiatan itu atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan maklumat berkaitan aktiviti seumpama boleh menyalurkan kepada Perhilitan di talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.-MalaysiaGazette