Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang baharu, Isham Jalil berjalan keluar selepas selesai menghadiri ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 24 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO memberikan bayangan bahawa sudah bersedia sekiranya Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan dalam kerajaan.

Menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, PN boleh berbuat demikian tanpa perlu mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perikatan Nasional, tidak perlu ugut PM. Jika ingin tarik sokongan, tarik sahaja.

“Rakyat pun ingin mandat dikembalikan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Media arus perdana hari ini melaporkan bahawa kepimpinan PN kecewa dengan Ismail dan sudah hilang sabar selepas pertemuan antara beliau dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibatalkan.

Laporan yang memetik kenyataan pemimpin PN Sabah itu berkata pilihan untuk menarik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu, minggu lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan.

Isham dalam pada itu berkata jalan terbaik bagi kesemua pihak adalah dengan membubarkan Parlimen.

“Negara tidak boleh terus dijadikan tebusan oleh pelompat-pelompat parti dan ahli politik pengkhianat. Bubar Parlimen,” katanya lagi.

Terdahulu, Wan Saiful Wan Jan yang juga Ketua Penerangan Bersatu mendedahkan Ismail membatalkan pertemuan dengan Hamzah disaat akhir.

Pertemuan itu yang sepatutnya diadakan semalam, dimaklumkan berhubung perjanjian ditandatangani antara PN dan Naib Presiden UMNO itu sebelum pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Wan Saiful berkata gabungan itu kecewa berhubung pembatalan pertemuan itu dengan berkata, Bersatu hanya mahu perdana menteri “menghormati PN sebagai mana beliau menghormati Pakatan Harapan”.

Pada 28 Julai, PN mengutarakan kekecewaan terhadap Ismail susulan kegagalan memenuhi janji dibuat kepada gabungan berkenaan. Menurut terma perjanjian yang bocor, jawatan timbalan perdana menteri dijanji diberikan kepada parti teras PN, Bersatu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagaimanapun menafikan kewujudan perjanjian diperkatakan itu antara PN dan Ismail Sabri , namun Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudian mengakui mendraf ‘memorandum persefahaman’ antara dua pihak berkenaan, pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette