Tiga lelaki maut dalam nahas membabitkan sebuah treler dan dua buah kereta di Jalan Kuantan-Segamat dekat Kuantan malam tadi.- Gambar ihsan bomba.

KUANTAN – Tiga lelaki maut dalam nahas membabitkan sebuah treler dan dua buah kereta di Jalan Kuantan-Segamat dekat sini malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar, kejadian berlaku pada pukul 8.50 malam melibatkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia.

Katanya, siasatan awal mendapati nahas berpunca akibat kereta Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler itu.

“Ia menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke bawah cerun di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azahari, ia mengakibatkan kelindan treler, Abdul Raziz Mohdal, 40; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol Md Tahir, 36; dan penumpang belakang kereta Proton Iswara, Zairulzaimy Jambi, 18 meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, empat mangsa lain termasuk pemandu treler, dua penumpang Proton Iswara dan pemandu Perodua Axia yang cedera telah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah dan BBP Chini dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya anggota bomba terpaksa mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat. – MalaysiaGazette