Usahawan hartanah, Mohamad Azlan Al Amin bersama peguamnya, Datuk Wan Azmir Wan Majid (kanan) menunjukkan surat laporan polis ketika sidang media media mengenai saman fitnah terhadap penyebar video palsu aplikasi dari TikTok di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Usahawan hartanah, Muhammad Azlan Al-Amin memfailkan saman fitnah sebanyak RM10 juta kepada seorang individu yang bertanggungjawab memuat naik video menerusi aplikasi Tik Tok dengan tajuk ‘Azlan Al Amin nak tetak orang’.

Tuntutan saman berkenaan dilakukan menerusi Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, diwakili oleh peguamnya, Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Bakar Abu Bakar Isa Ramat.

Menurut Wan Azmir, individu yang menyebarkan video berkenaan merupakan pembeli hartanah daripada Muhammad Azlan pada 21 September 2020.

Ujar beliau, individu  berkenaan telah melanggar terma dan syarat perjanjian jual beli hartanah apabila gagal membuat pembayaran lanjut.

Namun jelas beliau, individu tersebut meminta wang deposit yang dibayarnya sebelum ini sebanyak RM10,500 selepas pembelian dibatalkan.

“Pembeli telah membuat bayaran deposit sebanyak RM10,000. Namun, Pembeli hanya membuat pembayaran ansuran bulanan sebanyak sekali atau dua kali sahaja. Kegagalan Pembeli dalam membuat pembayaran lanjut adalah merupakan suatu pelanggaran terma dan syarat Perjanjian Jual Beli tersebut. Pembeli kemudian telah memohon untuk membatalkan pembelian hartanah,” katanya menerusi sidang media, hari ini.

Menurut beliau, meskipun anak guamnya telah membayar balik sebanyak RM11,200 namun pada 11 Oktober tahun lalu individu tersebut didakwa secara agresif hadir ke rumah ibu dan bapa Muhammad Azlan seterusnya ke kediamannya.

“Berikutan tindak-tanduk dan kelakuan pembeli yang secara jelas telah mendatangkan bahaya kepada anak guam kami dan keluarga anak guam kami, anak guam kami telah bersedia dengan suatu senjata iaitu pisau sebagai perlindungan diri dan juga hanya untuk menggertak lelaki tersebut bagi meredakan tindakan agresif lelaki tersebut yang boleh mengancam nyawa anak guam kami serta keluarganya.

“Tanpa disedari oleh anak guam kami, lelaki tersebut telah merakam video secara tersembunyi ketika anak guam kami membuat reaksi untuk menggertak menggunakan pisau dalam cubaan untuk mengawal kelakuan pembeli tersebut daripada bertindak agresif daripada mengancam nyawa anak guam kami serta keluarga,” tambahnya.

Berikutan  kejadian itu katanya, Muhammad Azlan juga telah membuat laporan polis untuk melindungi dirinya.

Bagaimanapun katanya, selepas memuat naik video-video berkenaan, akaun @Matmovha telah dipadam pada  3 Ogos 2022.

Sementara itu Muhammad Azlan berkata, sebagai usahawan penularan video yang dirakam di luar konteks itu telah memberi kesan kepada perniagaannya.

“Beberapa rakan niaga saya mengambil keputusan menangguhkan urusan perniagaan sebagaimana yang dirancang dan ini sudah tentu menjejaskan perniagaan saya dan menjatuhkan imej saya, memalukan dan memburukkan nama saya,” kata beliau.

Sehubungan itu, katanya saman, fitnah itu diajukan sebagai tindakan seterusnya kepada individu berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast