Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, dan Ketua Pegawai Eksekutif BALADNA, Piet Hilarides pada Majlis Pelancaran MAHA 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 06 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – FGV Chuping Agro Valley (FCAV) bakal menjadi hab agro-valley terkemuka di Malaysia bawah seliaan Pihak Berkuasa Seliaan Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi mengukuhkan agenda Sekuriti Makanan Negara.

Projek di Chuping, Perlis itu akan dibuat di tapak berkeluasan 8,053 ekar dan dijangka membabitkan pelaburan sehingga RM4.5 bilion seterusnya mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam sektor perniagaan ladang tenusu.

FGV melalui anak syarikatnya, FGV Intergrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) memeterai Perjanjian Usahasama Bersyarat (JVA) dengan Baladna Food Industries W.L.L, anak syarikat BALADNA Q.P.S.C.(BALADNA), dan Touch Group Holdings Sdn Bhd (TOUCH GROUP) bagi pembangunan perniagaan ladang tenusu di Chuping.

Perkongsian saham dalam usahasama itu merangkumi FGVIF dan BALADNA setiap satunya 40 peratus dan 20 TOUCH GROUP 20 peratus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, FCAV dijangka beroperasi secara komersial menjelang 2025 dan menyasarkan penghasilan 100 juta liter susu segar setahun dalam tempoh tiga tahun pertama.

“Pasaran tenusu Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan terkumpul tahunan (CAGR) sebanyak 4.5 peratus antara 2015 hingga 2020.

“Sektor tenusu diunjurkan positif dan FGV optimis akan hala tuju strategik ini akan menyokong matlamat negar auntuk mencapai tahap sara diri (SSL) sebanyak 50 peratus untuk susu cecair dan 100 peratus untuk susu segar menjelang 2028.

“Penggandaan pengeluaran susu segar di Malaysia ini sekaligus mengurangkan import dan menjamin khasiat minuman susu segar kepada rakyat Malaysia” katanya dalam ucapan memeterai Perjanjian Usahasama Bersyarat bersama BALADNA dan TOUCH GROUP di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) di sini hari ini.

Perjanjian itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee serta Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Turut hadir, Duta Besar Qatar ke Malaysia, TYT Fahad Mohammed Kafood, Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh, Pengerusi FGV Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Berdasarkan konsep grass to glass, usahasama itu akan disepadukan sepenuhnya daripada makanan haiwan, pemerahan susu lembu, pemprosesan susu kepada jualan, pemasaran sehingga pengedaran produk tenusu terutamanya susu segar. -MalaysiaGazette.