KUALA LUMPUR – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) akan meneruskan Program Felo MASA tahun ini.
Badan pemikir bebas itu akan terus mengoptimumkan nasihat dan kepakaran dalam pelbagai bidang penyelidikan melalui siri kuliah, perbincangan kumpulan fokus (FGD), bengkel dan penyediaan modul.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin, program yang bermula pada 2021 itu akan memperkenalkan ahli bersekutu tahun ini sebagai salah satu pecahan Program Felo MASA.
Ia bagi memberi peluang kepada individu yang terdiri daripada pensyarah universiti terkemuka, ketua pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin belia, selebriti dan wakil media untuk menyumbang idea dan tenaga dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan komuniti.
“Semua ahli yang dilantik berpengalaman luas dalam bidang masing-masing sama ada aspek ekonomi, sosial, politik atau pembangunan lestari.
“Yang sudah pasti akan membantu MASA dalam menyediakan input cadangan dasar bagi membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) merangka Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2.0 dan melaksanakan aspirasi WKB2030,” kata Azril dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, melalui program tersebut bidang-bidang tumpuan penyelidikan lain MASA seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan sosiobudaya dapat dimantapkan.
Tumpuan itu sesuai dengan hasrat dan matlamat MASA untuk menjadi antara badan pemikir bebas yang disegani dan menghasilkan penyelidikan bermutu tinggi.
Ahli Bersekutu yang dilantik dalam kalangan pemimpin muda adalah Ketua Pegawai Eksekutif, ASEAN Youth Network (AYN) Sharifah Norizah Syed Ahamad Kabeer dan Pengasas SPOT Community Project Malaysia Siti Aishah Hassan Hasri.
Selain itu turut dilantik adalah personaliti media iaitu Ketua Pengarang Astro Awani, Encik Ashwad Ismail dan pengacara Radio Televisyen Malaysia (RTM), Encik Mohd Ismail Adnan.
Sementara itu Felo Kehormat dan Felo yang dilantik ialah Profesor Ulung Ekonomi Institut Asia Eropah Universiti Malaya (UM) Prof. Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah, Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Dzulkifli Abdul Razak dan Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong.
Turut dilantik Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengarah, Pusat Dialog Peradaban UM Profesor Datuk Dr. Azizan Baharuddin dan Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim.
Selain itu juga dilantik adalah Profesor Kehormat Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan (CPDS) UM Prof. Dr. Fatimah Kari dan Felo Penyelidik Kanan, Malaysian Institute of Economic Research (MIER) Dr. Shankaran Nambiar.
Azril berharap semoga pelantikan kesemua pakar tersebut dapat membantu MASA dalam menjalankan fungsinya dan mempromosikan nilai kemakmuran bersama. – MalaysiaGazette