Hamidin Mohd Amin

PETALING JAYA – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan beliau bukan seorang individu yang suka mendabik dada apatah lagi untuk memperakui segala kejayaan yang diraih persatuan itu adalah hasil usaha dirinya.

Beliau memberitahu, bersesuaian dengan falsafah kepimpinan yang diketengahkannya, ia menuntut tahap kecekapan tinggi, ketelusan, tadbir urus baik serta kerja berpasukan yang berkesan.

Jelas beliau, setiap kejayaan khususnya apa yang telah dikecapi dalam kempen kelayakan Piala Asia  2023 baru-baru ini adalah hasil sumbangan dan kerjasama daripada semua pihak.

“Tanpa penglibatan daripada semua, baiknya dari mereka yang berada dalam rangkaian bola sepak negara di peringkat akar umbi, kelab, persatuan bolasepak dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), mahu pun pihak lain yang turut menjadi pemegang taruh seperti media, rakan komersil, rakyat malaysia dan kerajaan malaysia, kejayaan yang cukup bermakna ini mungkin masih kekal menjadi satu impian.

“Kesepakatan inilah yang menjadi resepi sebenar yang menzahirkan semua kejayaan ini dan apabila kita semua maju bersama, maka kejayaan akan datang dengan sendirinya.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan di atas kerjasama, sokongan dan bantuan dari semua pihak. Penghargaan peribadi juga saya rakamkan khususnya buat Perdana Menteri Malaysia yang sentiasa memberi perhatian kepada perkembangan bola sepak negara selama ini.

“Apabila kejayaan pasukan Harimau Malaya dan skuad kebangsaan bawah 19 tahun menghadirkan senyuman di wajah anak-anak Malaysia, ianya menjadi hakikat jelas betapa bola sepak ini memikul peranan yang lebih besar daripada sekadar sukan.

“Ianya turut menjadi instrumen perpaduan yang mengikat setiap rakyat Malaysia untuk menjadi satu jiwa, satu raga dan satu hati dan bola sepak boleh memainkan peranan dalam membina semula perhubunga dalam mewujudkan keamanan dan persefahaman dan kami berada di barisan hadapan untuk melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Kongres FAM kali ke-58 yang berlangsung di Hotel Hilton di sini, hari ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bersalaman bersama perwakilan yang hadir pada Kongres Tahunan ke-58 FAM 2022 di Hilton, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2022.

Jun lalu, skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil,

Bulan lalu pula, skuad bawah 19 tahun negara (B-19) merangkul kejuaraan AFF B19 selepas berjaya menewaskan Laos, 2-0 pada aksi final di Indonesia.

Hamidin menambah, beliau bersama Jawatankuasa Eksekutif FAM telah mengambil kira semua risiko dan telah membuat langkah awal untuk merencanakan jalan penyelesaian sejurus selepas berakhirnya saingan kelayakan Piala Dunia Qatar 20022.

Kata beliau, perancangan baharu yang diilihamkan menuntut kesinambungan sistem permainan yang bersistematik, melalui corak dan budaya yang sama di mana tumpuan bukan hanya berkisar kepada pasukan Harimau malaya bahkan juga pasukan kebangsaan peringkat umur.

Ujar beliau beliau, ini kerana bagi memastikan perancangan mampu dilaksanakan secara berkesan, pengambilan pakar teknikal khususnya bagi jawatan ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya dan pengarah teknikal adalah satu kemestian.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bercakap kepada media selepas Kongres Tahunan ke-58 FAM 2022 di Hilton, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 OGOS 2022.

“Bagi merealisasikan perancangan ini, kita di FAM telah mengambil sedikit masa bagi mencari calon yang paling ideal dan memenuhi segala kriteria.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengenal pasti Scott O’ Donnel sebagai Pengarah Teknikal FAM yang baharu dan sejurus selepas itu, Kim Pan-Gon pula telah berjaya diikat bersama-sama dengan pasukan teknikal beliau.

“Apabila kita memberanikan diri untuk melakukan perubahan yang berpaksikan matlamat jelas, hasilnya akan menjadi positif dan menguntungkan.

“Apa yang kita boleh saksikan sekarang, lebih-lebih lagi apabila pasukan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit dan pasukan kebangsaan Bawah 19 tahun pula berjaya menjuarai AFF B19 di mana menjadi bukti sahih betapa usaha ini mampu memberi hasil yang membanggakan,” katanya. – MalaysiaGazette