Mohd Solihan Badri

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz sepatutnya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada menyertai UMNO.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Johor, Mohd Solihin Badri berkata, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas dan ikhlas berjuang membanteras rasuah serta melaksanakan pembaharuan landskap politik dan pentadbiran kerajaan berintegriti.

 “Bagi Bersatu, kami tiada masalah dengan niat Tengku Zafrul menyertai politik secara aktif untuk meneruskan pembaharuan fiskal negara tetapi kami yakin ia hanya sia-sia jika beliau berada dalam parti yang salah.

“Kami yakin, matlamat pembaharuan fiskal itu hanya dapat direalisasi dan disempurnakan menerusi visi induk pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara yang diperjuangkan oleh Muhyiddin bersama parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan ketika Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Jawatan itu terus dipegang Tengku Zafrul selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan, tahun lalu.

Baru-baru ini, Tengku Zafrul dilantik Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor.

Pengumuman itu dibuat di hadapan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti serta peserta konvensyen yang terdiri dari tiga parti komponen BN, UMNO, MCA serta MCA.

Malah Tengku Zafrul turut dikaitkan sebagai poster boy bagi BN Selangor untuk Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15) kelak.

Mengulas mengenai itu, Mohd Solihin berkata, jika Tengku Zafrul salah memilih parti, maka karier politik beliau akan berakhir kerana pemimpin-pemimpin sedia ada dalam UMNO tidak akan membiarkan pembaharuan yang akan menggugat kedudukan mereka.

 “Malah ura-ura kepemimpinan UMNO untuk mengangkat beliau sebagai poster boy juga sekadar umpan untuk mengeksploitasi personaliti Menteri Kewangan itu untuk kepentingan parti semata-mata.

 “Pada sisi yang lain, saya menyarankan Tengku Zafrul berdiri dan bertanding PRU-15 atas tiket calon bebas dan parti yang menang pilihan raya itu akan mengangkat beliau menjadi menteri dalam Kabinet,” kataya lagi. – MalaysiaGazette