Air Selangor water tariff
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah mengembangkan inisiatif Box of Hope di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan secara digital melalui laman sesawang.

Sejak mula diperkenalkan pada Jun 2020, inisiatif Box of Hope merupakan usaha Air Selangor untuk memberi semula kepada komuniti dengan membantu mereka khususnya komuniti B40 menerusi sumbangan barangan makanan asas.

Box of Hope diwujudkan bagi membantu komuniti B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk menghadapi cabaran kos kehidupan yang kian meningkat di samping dapat menyuntik semangat mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan adanya sikap ambil berat dan keprihatinan oleh Air Selangor dan masyarakat setempat.

Seiring dengan era transformasi digital kini, inisiatif Box of Hope dikembangkan dengan pelancaran platform digital yang dapat menggalakkan dan memudahkan orang ramai untuk memberikan sumbangan menerusi transaksi pembayaran secara dalam talian tanpa perlu berkunjung ke pusat agihan Box of Hope yang terletak di beberapa cawangan Village Grocer terpilih.

Orang ramai yang ingin menderma menerusi inisiatif Box of Hope yang berupa pakej sumbangan pembelian barangan makanan asas seperti tepung, beras, makanan dalam tin, susu tepung dan minyak boleh menyalurkan derma mereka menerusi www.airselangor.com/boxofhope.

Sehingga Jun 2022, lebih daripada 2,000 kotak Box of Hope dengan nilai sumbangan melebihi RM175,000 telah diagihkan kepada komuniti B40 dan rumah kebajikan terpilih di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengagihan kotak Box of Hope dilaksanakan hasil kerjasama bersama Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) dengan penumpuan khusus untuk komuniti B40 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kaedah sumbangan Box of Hope sedia ada dalam bentuk pembelian fizikal barangan asas masih boleh dilakukan di lima lokasi Box of Hope Village Grocer iaitu Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall Ampang.

Air Selangor turut merancang untuk menambah bilangan pusat agihan Box of Hope di cawangan-cawangan Village Grocer untuk kemudahan orang ramai memberikan sumbangan.

Orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan ikhlas melalui akaun bank CIMB Bank Berhad 80-0798511-8 dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif ‘Box of Hope’. – MalaysiaGazette