Lim Guan Eng

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memberi tumpuan mencegah kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan berbanding taksub terhadap Pilihan Raya Umum yang dijangka diadakan tahun depan.

Pengerusi DAP, Lim Guan eng berkata, menteri-menteri kerajaan kini sibuk berkempen dan berpolitik daripada daripada menjalankan tugas mereka merangka dasar awam yang kukuh untuk menanganinya kemelesetan ekonomi.

”Terdapat lebih perhatian terhadap tuntutan UMNO terhadap pilihan raya umum awal dan Perikatan Nasional yang mengancam untuk menarik sokongannya kepada Ismail Sabri kerana Ismail mungkir janji, berbanding isu ekonomi yang mendesak seperti harga makanan dan bahan yang melambung tinggi, kekurangan buruh yang teruk, kejatuhan nilai ringgit dan kadar faedah yang meningkat.

”Betapa teruknya keadaan ekonomi global boleh dilihat melalui ekonomi AS mengalami kemelesetan teknikal sepanjang dua suku pertama 2022 dan Bank of England meramalkan bahawa United Kingdom akan mengalami kemelesetan pada suku akhir 2022,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mendakwa, kerajaan tenggelam dalam permainan politik apabila yakin Malaysia boleh mencapai unjuran pertumbuhan ekonomi 2022 setinggi 6.3% sedangkan Tabung Kewangan Antarabangsa telah menurunkan sasaran pertumbuhan tertinggi Malaysia kepada 5.6% pada tahun ini.

Katanya, ringgit pula sepatutnya mengukuh ketika harga minyak dan minyak sawit tinggi dan bukannya terus menurun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada RM4.46, terendah dalam lima tahun.

Guan Eng berkata, ringgit tidak pernah jatuh ke paras terendah ketika Pakatan Harapan (PH) berkuasa meskipun harga minyak dan minyak kelapa sawit yang rendah.

”Walaupun kerajaan boleh mengetepikan penurunan ringgit berbanding dolar AS disebabkan oleh kenaikan kadar faedah sebanyak 2.25% oleh Rizab Persekutuan AS, penurunan mendadak berbanding dolar Singapura menunjukkan risiko pemulihan dan kelemahan ekonomi kita berbanding dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara,” tambahnya.

Oleh itu, pembuat dasar harus menangani perkara ini dan segera mengatasi kegagalan buruh asing memasuki Malaysia.

Kekurangan buruh yang teruk telah menyebabkan kerugian RM33.5 bilion kepada industri minyak kelapa sawit, sarung tangan getah dan alat ganti kenderaan serta berpuluh bilion ringgit dalam sektor lain.

Meskipun kerajaan menjanjikan pekerja Indonesia akan masuk pada 1 Ogos, banyak perniagaan masih menunggu dengan sedih.

Menteri-Menteri berkenaan harus memberi tumpuan kepada memudahkan kemasukan mereka daripada menambah halangan.

Beliau turut mendakwa langkah-langkah untuk membendung kenaikan harga dengan kenaikan kadar faedah juga tidak terbukti berkesan.

”Tidak ada gunanya meneruskan kenaikan kadar faedah apabila ia hanya merugikan perniagaan dengan kos pinjaman yang lebih tinggi tanpa mengatasi kenaikan tinggi harga dan risiko menyebabkan kemelesetan ekonomi.

Terdahulu dalam kenyataannya, Guan Eng menyambut baik penafian Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang Bajet 2023 akan diadakan lebih awal.

Menurutnya, kepentingan ekonomi negara memberi petunjuk bahawa pilihan raya umum perlu diadakan tahun depan dan bukan tahun ini.

Oleh itu, kerajaan perlu menghentikan ketaksuban untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini tetapi sebaliknya fokus menjalankan tugasnya untuk mengelakkan ekonomi Malaysia daripada jatuh ke dalam kemelesetan pada 2023.

”Mengadakan pilihan raya umum ke-15 tahun ini dengan membenarkan kemelesetan ekonomi berlaku tahun depan adalah tidak berbaloi,” ujar beliau. – MalaysiaGazette