KUANTAN- Seorang pelancong warga Perancis maut ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Jasar, Tanah Rata di Cameron Highlands hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, Marc Antoine Anne Marie, 52 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 10.28 pagi tadi.
Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri ketika mendaki gunung tersebut.
“Komander operasi bersama pasukan perubatan memberi bantuan pernafasan kepada mangsa bagaimana tiada respons daripada mangsa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Seramai enam anggota bomba, empat anggota dari Angkatan Pertanan Awam Malaysia (APM) dan tiga anggota polis terlibat dalam operasi menyelamat itu.
Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, mangsa menyertai aktiviti itu bersama sembilan pendaki lain.
“Mayat mangsa dalam proses untuk diturunkan menggunakan pengusung ke kaki Gunung Jasar dan akan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Tanah Rata untuk dibedah siasat,” katanya. – MalaysiaGazette