Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – “Itu tiada dalan rekod saya…not in my record,” kata Datuk Zuraida Kamaruddin.

Presiden Penaja Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai banyak bantahan terutama dalam kalangan pemimpin UMNO yang menolak PBM menyertai Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, beliau mengesahkan PBM masih belum menerima sebarang jawapan berhubung permohonan untuk menyertai BN.

“Seperti yang saya sebut hari itu, kita belum dapat jawapan lagi,” katanya ringkas selepas Pelancaran Panduan Praktikal Mengenai Buruh Paksa Untuk Industri Getah Malaysia di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, PBM menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menyertai gabungan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15).

PBM telah menghantar pernohonan itu sejak tiga minggu lepas.

Zuraida yang turut ditanya sama ada PBM akan menyertai Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuh oleh Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau hanya berserah perkara itu kepada Allah.

“Ini kita belum lagi…kita bukan tunggu, kita tunggu ketentuan takdir Allah Taala,” katanya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan penubuha GTA bertujuan menjaga negara supaya aman dan stabil dengan mengurangkan jurang antara kaum ketika ini.

Katanya, gerakan itu akan hanya disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu.

Jelasnya, ia bukan bermakna gerakan itu bersifat perkauman sebaliknya, ia untuk memberi tumpuan melawan sebuah parti Melayu yang sudah menyeleweng ketika ini. – MalaysiaGazette