Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing mencatatkan belian bersih bagi minggu ketiga berturut-turut minggu lepas apabila Malaysia menyaksikan aliran masuk asing bersih sebanyak RM388.2 juta – peningkatan dua kali ganda daripada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, pelabur asing hanya menjadi penjual bersih pada hari Selasa, tetapi ia lebih daripada diimbangi oleh aliran masuk bersih untuk baki hari dagangan.

Pelabur asing memulakan minggu ini dengan belian bersih ekuiti bernilai RM49.7 juta, sebelum beralih menjadi penjual bersih pada hari Selasa sebanyak RM40.0 juta.

Pembelian berterusan pada hari Rabu kepada RM75.0 juta, manakala hari Khamis  menyaksikan aliran masuk asing bersih paling tinggi sebanyak RM284.2 juta – jumlah ini kali terakhir dilihat pada akhir Mei 2022.

Pelabur asing menutup aktiviti belian pada minggu lalu dengan membeli RM19.3 juta.

Firma penyelidikan itu menambah, pelabur institusi tempatan kekal sebagai penjual bersih untuk minggu keempat berturut-turut pada kadar RM266.9 juta – hampir empat kali ganda jumlah jualan bersih mereka pada minggu sebelumnya.

Mereka adalah pembeli bersih hanya pada hari Selasa sebanyak RM68.3 juta, tetapi ini tidak mencukupi untuk menampung aktiviti penjualan yang berlaku sepanjang minggu tersebut.

Khamis menyaksikan jualan bersih terbesar berjumlah RM205.5 juta.

Sementara itu, jumlah jualan bersih ialah RM21.7 juta pada hari Isnin, RM80.2 juta pada hari Rabu dan RM27.7m pada hari Jumaat.

Menurutnya, sepanjang minggu lalu, pelabur runcit tempatan masih menjadi penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM121.4 juta.

Aliran keluar paling ketara pada hari Khamis sebanyak RM78.7 juta, manakala Isnin dan Selasa mencatatkan aliran keluar bersih lebih perlahan masing-masing RM28 juta dan dan RM28.3 juta.

Pelabur runcit bertukar kepada pembeli bersih pada hari Rabu dengan RM5.2 juta dan RM8.5 juta pada akhir minggu.

Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 20 daripada 31 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.65 bilion.

Manakala, institusi tempatan adalah penjual bersih selama 24 daripada 31 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8.23 bilion.

Sementara itu, pelabur runcit menjadi pembeli bersih untuk 19 daripada 31 minggu 2022, dengan belian bersih RM1.57 bilion.

Dari segi penyertaan, semua kelas pelabur mencatatkan peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dengan pelabur runcit pada +11.4%, pelabur institusi +3.7% dan pelabur asing +5.7%. – MalaysiaGazette