Leandro Lo Pereira do Nascimento. Foto News.trenddetail.com

SAO PAULO – Salah seorang juara Jiu Jitsu dunia, Leandro Lo Pereira do Nascimento ditembak di kepala di sebuah kelab malam di sini.

Lo, 33, berada di sebuah kelab di Saude apabila dia didakwa ditembak oleh seorang pegawai polis yang tidak bertugas yang kini dalam pelarian.

Mangsa yang dikejarkan ke hospital telah diisytiharkan mati otak beberapa jam kemudian.

Lo adalah salah seorang atlet Jiu Jitsu yang paling berjaya sepanjang zaman, setelah memenangi Kejohanan Dunia sebanyak lapan kali.

Media tempatan melaporakan, Lo telah didatangi seorang anggota polis yang dipercayai mabuk dan tidak bertugas ketika keluar bersama rakan-rakan di Clube Sirio – sebuah kelab sukan dan sosial.

Saksi berkata, anggota polis itu mula membuat isyarat mengancam dengan botol kaca di atas meja.

Lo kemudian bertindak mengunci pergerakan suspek sebelum menyuruhnya pergi.

Anggota polis itu didakwa mengeluarkan pistol lalu menembak Lo di dahi, kata polis.

Menurut peguam keluarga Lo, hospital telah mengisytiharkan dia mati otak dan keadaannya tidak dapat dipulihkan.

Suspek yang melarikan diri selepas kejadian kini menjadi buruan polis.

Dia disiasat atas cubaan membunuh.

Lo memenangi Kejohanan seni mempertahankan diri peringkat dunia lapan kali dalam tiga kelas berbeza dan memecahkan rekod sepanjang masa. – Agensi