Kebersihan gigi dan mulut perlu diberi perhatian. Gambar hiasan

MALAYSIA sudah memasuki fasa endemik Covid-19 selepas beberapa tahun melalui fasa pandemik yang amat sukar. Pengambilan gula yang tinggi, kebersihan mulut yang buruk, merokok dan pengambilan alkohol semuanya diketahui faktor risiko untuk penyakit mulut. Dua tahun yang lalu, Covid-19 banyak membantutkan perkhidmatan pergigian
terutamanya di sekolah-sekolah dan rawatan perkhidmatan pergigian di klinik kerajaan juga terhad kerana bilangan pesakit yang dikawal untuk mengelakkan wabak ini tersebar luas.

Terdapat data yang terhad secara amnya mengenai kesan wabak Covid-19 terhadap kesan kepada kesihatan mulut. Walau bagaimanapun, kita boleh melihat akibat dan kesan pandemik Covid-19 ini, apabila sekolah- sekolah mula dibuka dan perkhidmatan pergigian di sekolah-sekolah dijalankan semula. Kesihatan pergigian dan mulut sering diabaikan oleh orang ramai.

Rendahnya kesedaran dalam menjaga kesihatan pergigian dan mulut menjadi salah satu punca penyakit pergigian dan mulut dalam masyakat Malaysia. Kajian menunjukkan lapan daripada 10 rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit pergigian. Hasil kajian pada tahun 2019 menunjukkan 27.4 peratus orang dewasa mendapatkan pemeriksaan pergigian dalam tempoh setahun.

Peratusan yang rendah ini adalah kebanyakannya disebabkan oleh persepsi 68 peratus rakyat negara ini bahawa mereka tidak mempunyai masalah dalam mulut. Kebanyakan ibu bapa masih memandang rendah kesihatan gigi dan mulut mereka dan berfikir sekiranya gigi susu anak mereka yang bermasalah tidak memerlukan rawatan keranatidak lama lagi akan digantikan dengan gigi kekal.

Sedangkan masalah pergigian dan mulut kanak-kanak boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Pertumbuhan gigi susu merupakan proses penting dalam pertumbuhan kanak-kanak. Jika anak mengalami masalah pada mulut, anak akan mengalami kesukaran untuk menghadam makanan, justeru tumbesaran anak akan terganggu. Selain sebagai fungsi pengunyahan, gigi juga merupakan faktor yang mempengaruhi fungsi pertuturan.

Kebolehan fonetik atau sebutan pada kanak-kanak memerlukan bantuan daripada gigi susu. Gigi susu juga memainkan peranan utama dalam fungsi estetik. Apabila kanak-kanak mula sedar dan memerhatikan penampilan, jika berlaku kerosakan pada gigi ia akan menjejaskan keyakinan diri kanak-kanak itu, membuatkan kanak-kanak itu berat hati untuk membuka mulut dan berinteraksi dengan rakan sebaya.

Masalah kesihatan pergigian dan mulut mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tingkah laku memberus gigi secara teratur dan betul.  Ramai yang sering membangkitkan persoalan kenapa gigi mereka masih rosak dan masalah berkaitan yang lain masih timbul walaupun mereka memberus gigi setiap hari? Jawapannya,mungkin cara dan teknik memberus gigi yang diamalkan selama ini kurang tepat atau kurang berkesan sehingga objektif utama daripada amalan memberus gigi bagi membersihkan gigi serta kawasan mulut yang lain tidak tercapai sepenuhnya.

Oleh itu, amat penting peranan ibu bapa untuk memperkenalkan anak-anak cara memberus gigi yang betul dan membiasakan anak-anak menggosok gigi setiap hari terutama sebelum tidur supaya kesihatan pergigian terpelihara dengan baik.
Umur yang sesuai untuk mengajar kanak-kanak berus gigi yang betul adalah dari 2 hingga 3 tahun. Ibu bapa juga harus menemani anak-anak menggosok gigi sehingga umur 7 tahun dalam usaha membiasakan mereka dengan memberus gigi dan membiasakan kaedah yang betul.

Menjaga kesihatan mulut dan gigi juga dipengaruhi oleh pengambilan makanan kanak-kanak, mengelakkan pengambilan makanan dan minuman dengan kepekatan gula yang tinggi sangat membantu dalam mencegah kaviti. Tingkatkan pengambilan makanan yang mengandungi pH neutral, seperti keju, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran. Ibu bapa juga diwajibkan membawa anak-anak ke doktor gigi secara berkala sekurang-kurangnya setiap 6 bulan.

Rutin ini perlu supaya ibu bapa mendapat pendidikan tentang langkah-langkah pencegahan pada gigi anak-anak, atau rawatan gigi yang bersesuaian dan anak-anak boleh menyesuaikan diri dengan doktor gigi seawal mungkin supaya mereka tidak
takut untuk pergi ke doktor gigi. Kanak-kanak umpama kain yang bersih, kita lah yang mencorakkan peribadi dan juga tabiat mereka.

Ayuh, marilah sama-sama kita datang ke klinik gigi samaada klinik gigi kerajaan ataupun swasta bagi mendapatkan rawatan pergigian. Kita tidak tahu bagaimana keadaan gigi kita setelah sekian lama tidak berjumpa doktor gigi. Gigi merupakan anggota badan dan amanah yang wajib dijaga, dipelihara dan dilarang dari sakiti ke atasnya. Mari kita sama- sama
menjaga kebersihan dan kesihatan gigi dan mulut kita.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh: Dr Ahmad Salman Mohamad Jan,
Klinik Pergigian Perfect Smile, Penaga, Pulau Pinang &

Prof Madya Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Pergigian USIM.
Penasihat DENTAL PAPISMA