Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengatakan sesuatu dengan Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Zulhelmi Mansor (empat kanan) serta sebahagian penghantar makanan dan barang yang hadir pada sesi dialog bersama pihak p-hailing dan e-hailing di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos lalu yang bersetuju supaya MOT diberi kuasa untuk mengawal selia perkhidmatan p-hailing di negara ini.

“Ia bagi memastikan sektor perkhidmatan ini berdaya saing dan kompetitif untuk tempoh masa panjang, pengawalseliaan juga bertujuan menjaga kebajikan penunggang atau pemandu kenderaan yang terlibat.

“Pindaan ini juga akan melibatkan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Selain MOT, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak turut akan mengawal selia perkhidmatan P-Hailing,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ka Siong mengadakan sesi dialog bersama Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaluddin; Pengerusi Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor; penunggang p-hailing daripada pelbagai syarikat dan wakil vendor, Malaysia Food Delivery Association.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Khaizulnizam Zuldin.

Pindaan itu antara lain mengenakan beberapa syarat pengawalseliaan seperti keperluan mempunyai perlindungan insurans bagi penunggang atau pemandu; kawalan kepada tahap pengoperasian, syarat pelesenan, kawalan tahap keselamatan kenderaan serta kawalan kompetensi penunggang dan pemandu akan ditetapkan.

Menurut Ka Siong, pindaan yang dicadangkan antara lain bertujuan mewujudkan punca kuasa bagi mengawal selia dan menetapkan peraturan pelesenan bagi perkhidmatan berkenaan di bawah Akta 334 dan Akta 715.

“Ia juga bagi memastikan terdapatnya perlindungan insurans kepada penunggang atau pemandu yang terlibat,” katanya.

Selain itu, jelas Ka Siong, RUU itu juga akan meminda had umur penunggang p-hailing atau motosikal penghantaran barangan kepada tidak kurang dari 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini bagi mendapatkan Lesen Memandu Vokasional (GDL).

“Pindaan had umur ini akan membolehkan Keluarga Malaysia bekerja sebagai seorang penunggang motosikal p-hailing apabila telah mempunyai Lesen Memandu Kompeten dalam kelas motosikal dan seterusnya mendapatkan GDL bagi tujuan tersebut.

“Ia akan membuka peluang kepada lebih ramai menyertai sektor ekonomi gig untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan p-hailing dan lain-lain platform perkhidmatan penghantaran,” katanya. – MalaysiaGazette