KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli dan Nik Nazmi N Nik Ahmad dicadangkan supaya bertanding di kawasan strategik di Johor dan Kelantan bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, jika kedua-dua pemimpin ini bersama dengan calon-calon muda yang lain bertanding di negeri-negeri strategik, ia akan menyerlahkan lagi potensi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menawan negeri-negeri ini.
Menurutnya, PKR kini memasuki fasa pengukuhan dengan saf kepimpinan baharu mula mengorak langkah bagi mendepani pilihanraya umum.
Strategi untuk meletakkan pemimpin-pemimpin muda bagi mengetuai jentera parti di negeri-negeri seperti Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu adalah strategi yang ampuh bagi menarik semula sokongan rakyat.
”Kelantan dan Johor misalnya adalah dua buah negeri strategik yang perlu diberi perhatian khusus dengan meletakkan tokoh-tokoh muda yang berwibawa dari PKR.
”Timbalan Presiden PKR, Rafizi kini mengetuai negeri Johor manakala Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad pula mengetuai Kelantan.
”Kewibawaan dua tokoh muda ini sudah cukup menyerlah dan tidak sukar bagi mereka untuk menawan kerusi-kerusi di negeri strategik kerana potensi dan populariti mereka sangat dikenali rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette