judi tanah rizab Melayu agus kelantan air sagu hati AKSB
Mohamad Kamal Mohamed

KUALA LUMPUR – Isu skandal kapal pesisir tempur (LCS) membabitkan peruntukan lebih RM9 bilion perlu ditangani secara telus dan merentasi politik kepartian.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, skandal tersebut tidak seharusnya didiamkan walaupun ia dikatakan melibatkan individu-individu berpengaruh.

Menurut beliau, keadilan perlu ditegakkan dan kebenaran seharusnya menjadi kunci kepada penyelesaian.

“Walau bagaimanapun, saya juga percaya isu ini telah melalui prosedur sepatutnya melalui Laporan Ketua Audit Negara pada 2019.

“Isu ini dilaporkan dalam Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang kemudiannya dibentang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Kamal turut menggesa kerajaan menyiasat sekiranya berlaku unsur salah guna kuasa dalam perolehan enam LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia itu.

Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa PAC, Wong Kah Woh mendedahkan, Boustead Naval Shipyard (BNS) masih gagal menyerahkan sebarang LCS setakat ini kepada kerajaan walaupun telah menerima bayaran RM6.08 bilion.

Menurut beliau, BNS yang diberikan projek secara rundingan terus itu perlu menyiap dan menyerahkan lima unit kapal itu selewat-lewatnya Ogos ini.

Laporan PAC turut mendedahkan, Kementerian Pertahanan (Kementah) tidak mengendahkan pandangan TLDM selaku pengguna akhir kerana kapal model Sigma yang dipilih telah ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011. – MalaysiaGazette