Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bercakap kepada media selepas perasmian Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kelmarin seorang  pempengaruh popular media sosial dalam masyarakat India meninggal dunia ekoran tekanan dipercayai dari buli siber.

Mangsa yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital meninggalkan tiga orang anak serta suami itu  sebelum ini sentiasa berbicara isu-isu masyarakat termasuklah topik seperti persekolahan di rumah dan gangguan seksual.

Bagaimanapun MalaysiaGazette difahamkan mendiang mempunyai jumlah pengikut seramai lebih 30,000 tidak disenangi segelintir netizen terutamanya dalam isu-isu sensitif.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy hari ini tampil meluahkan rasa bimbang ekoran isu-isu seperti itu semakin parah dalam kalangan masyarakat hari ini terutamanya golongan Hawa.

Berkongsi perasaan, Mohana berkata, apa yang telah terjadi kepada mendiang bukanlah baharu sebaliknya hampir saban hari insiden tekanan perasaan, kemurungan sehingga bertindak luar batasan yang akhirnya meragut nyawa.

Kata Mohana, sebelum kejadian itu, seorang lagi mangsa pertengahan usia juga telah bertindak sedemikian akibat tekanan emosi dan persekitaran.

“Wanita itu yang mempunyai seorang anak perempuan cemerlang berjaya mendapatkan biasiswa dengan Universiti AIMST tajaan MIC, sepatutnya ibunya gembira dengan bantuan itu namun kita tidak tahu sehingga kini mengapa beliau bertindak seperti itu sehingga dua-dua anaknya  yatim piatu.

“Saya tidak punya statistik terkini pada masa ini tetapi cukuplah jika saya dapat katakan bahawa tragedi terutamanya akibat perbuatan buli siber ini semakin hari semakin kerap. Ini sungguh menakutkan kita semua. Wanita MIC sendiri menerima pelbagai aduan berhubung perkara ini.

“Sesuatu perlu dilakukan dan ini perlu dilakukan dengan kadar segera sebenarnya. Semakin lama semakin ramai wanita dalam kalangan usia pertengahan bertindak terburu-buru kerana tidak dapat menahan emosi atau tekanan mereka. Kasihan mereka sebenarnya.

“Seperti mana kita sudah mula mengenalpasti tentang isu ini, kita juga perlu mencari jalan penyelesaiannya secepat mungkin, tekanan perasaan dan kemurungan ini akhirnya menyebabkan seseorang membuat keputusan untuk menamatkan sahaja riwayat mereka dalam keadaan menyayat hati,” katanya.

Kata Mohana lagi, kebimbangan pihaknya semakin menjadi-menjadi apabila ramai juga wanita pertengahan ini yang begitu taksub dengan media sosial seperti Tiktok, Facebook mahu pun Instagram sehingga berlakunya keadaan buli siber dengan teruk.

“Untuk makluman insiden buli siber ini bukanlah boleh dianggap sebagai satu lagi fenomena baharu kerana jika dilihat secara teliti, ia boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari. Buka sahaja ruangan komen di hantaran-hantaran tertentu yang menarik perhatian umum, komen jelik pasti akan ditemui dengan mudah.

“Tidak hairan atau mengejutkan sekiranya kes kemurungan atau lebih teruk lagi membahayakan diri dalam kalangan mangsa buli siber semakin kerap dilaporkan sehingga tidak lagi menimbulkan rasa hairan dalam diri masyarakat umum.

“Perbuatan ini mesti kita hentikan, saya tidak menuding jari kepada sesiapa sebaliknya kita perlu melakukan sesuatu bagi menyelamatkan golongan ini terus hanyut dengan emosi yang akhirnya menyebabkan mereka membuat keputusan membunuh diri.

“Selain kerajaan, persekitaran kita, keluarga, sahabat dan kawan sekerja juga perlu mengambil berat jika adanya golongan seperti ini, jangan ambil mudah atau tidak apa kerana walaupun dari segi luarnya kita tidak nampak seperti apa-apa tetapi apabila sesuatu buruk berlaku seperti nasi sudah jadi bubur,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Mohana, Wanita MIC aktif dalam menangani isu-isu sedemikian malah telah menyedihkan perkhidmatan kaunseling 24 jam seandainya mana-mana individu memerlukan bantuan.

“Biro-biro kita juga aktif, saya juga sedang dalam proses menambahpulih apa yang ada sekarang kerana kita perlu bersiap sedia, ramai wanita di luar sana tidak kira siapa memerlukan bantuan pada masa ini, selagi yang boleh, kita akan terus fokus pada usaha-usaha seperti ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette