Ng Tze Yong. Foto: Olympic Council of Malaysia

BIRMINGHAM – Pemain perseorangan lelaki utama negara, Ng Tze Yong, gagal mengulangi kejutan untuk dinobatkan juara Sukan Komanwel 2022 Birmingham apabila tewas kepada pemain nombor satu India, Lakhsya Sen, pada perlawanan final, di sini, hari ini.

Selepas menjinakkan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew di peringkat suku akhir dan pemain India, Kidambi Srikanth di separuh akhir, pemain berusia 22 tahun itu, memulakan aksi final dengan  harapan dapat mempertahankan emas Malaysia dalam acara itu.

Tze Yong menampilkan aksi cemerlang dengan mengukuhkan pertahanan dan melakukan serangan balas untuk menang 21-19 ke atas naib juara All England itu.

Bagaimanapun, rangkaian kesilapan membawa padah apabila Sen mula menguasai set kedua sebelum menang 21-9.

Pada set penentuan, ketika Tze Yong ketinggalan 14-19, permainan ditangguhkan selama kira-kira seminit apabila Tze Yong mengalami sedikit kecederaan pada lututnya dan terpaksa mendapatkan bantuan perubatan di luar gelanggang.

Tze Yong yang bersemangat tinggi cuba bangkit tetapi dia hanya berjaya mengutip dua mata selepas permainan disambung semula sebelum Sen menang 21-16 dan merampas merampas pingat emas dari Malaysia ketika Datuk Lee Chong Wei muncul juara pada edisi 2018 Gold Coast,Australia.

Parupalli Kashyap dari India menang pada edisi 2014 Glasgow.

Dalam saingan suku akhir dan separuh akhir, Tze Yong mengalahkan Kean Yew 15-21, 21-14, 21-11 dan Srikanth 13-21, 21-19, 21-10.

Walaupun tewas di pentas akhir, penampilan sulung Tze Yong, menggantikan pemain profesional, Lee Zii Jia, pada saat akhir berikutan penarikan diri Zii Jia dari temasya itu, layak menerima pujian berikutan prestasi hebatnya di sini.

Ini adalah pingat kedua dimenangi Tze Yong pada temasya ini selepas berjaya meraih emas selepas Malaysia mengalahkan India 3-1 dalam acara berpasukan campuran minggu lalu. – Bernama