Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari menolak permohonan injuksi terhadap terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk makluman, pada 5 Julai lepas, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri gagal dalam permohonan perintah injuksi terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Permohonan injuksi itu berkaitan dakwaan oleh bekas pemimpin-pemimpin nombor satu negara itu yang mendakwa Ahmad Zahid telah memohon bantuan menyelesaikan atau menangguh perbicaraan rasuah sedang dihadapinya ketika di mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusof yang menolak permohonan itu dengan memutuskan ada isu yang perlu diputuskan ketika perbicaraan sedang berjalan ketika ini.

Rozana juga telah menetapkan 3 Oktober bagi pengurusan kes.

Sebelum ini, pada April lepas, Ahmad Zahid telah memohon perintah injunksi interim untuk menghalang Muhyiddin, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan fitnah berhubung dakwaan kononnya beliau cuba menyelesaikan kes mahkamahnya.

Dakwa Ahmad Zahid, Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari lepas.

Beliau mendakwa, pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan pada majlis itu telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular iaitu Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat yang boleh diakses melalui internet.

“Pada hari sama juga, rakaman video mengenai kenyataan fitnah pada majlis itu diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular, iaitu Astro AWANI berdurasi 56 minit dan 46 saat yang boleh diakses melalui internet,” katanya dalam pernyataan itu.

Menurut plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis itu mendapat jumlah tontonan sebanyak 23,443 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44 juta pelanggan selain rakaman video itu dilaporkan secara meluas melalui pelbagai medium media sosial, iaitu akaun YouTube ‘MalaysiaGazette TV’, Facebook profil ‘Astro AWANI’ dan akaun TikTok ‘MalaysiaGazette TV’.

Jelas beliau, kenyataan fitnah berkenaan antaranya membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Beliau juga mendakwa difitnah menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Perdana Menteri bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri penyiasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya. -MalaysiaGazette