Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

KUALA LUMPUR – Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

RUU berkenaan mendapat undi majoriti dengan sebanyak 52 Ahli Dewan Negara bersetuju manakala 7 ahli tidak hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, seramai 32 Ahli Dewan Negara terlibat dalam sesi sesi perbahasan hari ini.

Bacaan Kedua Rang Undang-Undang tersebut di Dewan Negara telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sebelah pagi.

“Antara persoalan yang dibahaskan adalah mengenai hukuman,
penalti dan denda kepada Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti,
pemakaian peruntukan larangan bertukar parti kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara.

“Turut dibahaskan tafsiran bertukar parti yang melibatkan parti gabungan dan pemecatan Ahli Dewan Rakyat, pemakaian Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, perbandingan peruntukan bertukar parti di negara-negara lain dan pemansuhan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Selepas mendapat kelulusan daripada Dewan Negara, Wan Junaidi kemudian membuat penggulungan dan Bacaan Ketiga Rang Undang-Undang tersebut.

Katanya, Rang Undang-Undang itu dijangka akan diwartakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebelum ini, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.
3) 2022 Pindaan Dalam Jawatankuasa telah dibahaskan selama dua hari bermula pada 27 Julai 2022 dan 28 Julai 2022 serta diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan sokongan majoriti undian sebanyak 209 manakala 11 Ahli Dewan Rakyat tidak hadir,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan penggubalan Rang Undang-Undang tersebut sehingga diluluskan di Dewan Negara pada hari ini merupakan suatu langkah ke arah kestabilan politik negara

Wan Junaidi turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Negara yang memberikan sokongan kepada Rang Undang-Undang ini.

Pada masa yang sama, penghargaan turut diberikan kepada semua yang terlibat dalam penggubalan Rang Undang-Undang berkenaan.

Ini khususnya Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Parlimen Malaysia.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin parti politik yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan Rang Undang-Undang berkenaan. – MalaysiaGazette