Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas tiga pertuduhan penipuan berjumlah RM40,090.50 sejak empat tahun lalu.

ALOR GAJAH – Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas tiga pertuduhan penipuan berjumlah RM40,090.50 sejak empat tahun lalu.

Tertuduh, Ng Tai Wei, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan Chia Wei Chung, 25, bagi  bayaran deposit pembelian sebuah kenderaan jenis Honda HRV yang tidak wujud sehingga mendorongnya memasukkan wang berjumlah RM2,000 ke dalam akaun bank miliknya.

Kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu dilakukan di dalam daerah Alor Gajah pada 26 Julai lalu.

Tertuduh turut didakwa memperdaya Loh Chia How, 29, bagi bayaran deposit pembelian sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire yang tidak wujud sehingga mendorongnya memasukkan wang berjumlah RM10,000 ke dalam akaun bank miliknya.

Kesalahan itu dilakukan di dalam daerah Alor Gajah pada 26 dan Julai 27 lalu.

Tertuduh juga dituduh memperdayakan Lem Beng Siang, 55, bagi urusan untuk menyelesaikan masalah bankrupsi dengan pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang tidak wujud sehingga mendorongnya memasukkan wang berjumlah RM28,090.50 ke dalam akaun bank tertuduh.

Kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu dilakukan di SU 185, Jalan Indah 5, Taman Sungai Indah, Sungai Udang, dalam daerah Alor Gajah antara tempoh 1 Februari 2018 hingga 5 Oktober 2018.

Kesemua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 bagi setiap kes pertuduhan penipuan kenderaan dan RM25,000 bagi pertuduhan bankrupsi dengan seorang penjamin.

Tertuduh dalam rayuannya meminta jaminan rendah dengan alasan perlu menyara dua anak yang masih bersekolah selain perlu menjaga ibu mentua yang sakit buah pinggang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk semua pertuduhan dan menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast