Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, Kamarudin Hussain

KUALA LUMPUR – Kerajaan dilihat lebih berminat mewujudkan undang-undang baharu untuk mengawal selia pekerja ekonomi gig dengan mewajibkan mereka memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) berbanding membela kebajikan mereka.

Ketua Aktivis Pengangkutan Darat Malaysia, Kamarudin Hussain kesal kerana dialog Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam gagal memberi jawapan kepada kemelut dihadapi penunggang dan pemandu perkhidmatan p-hailing.

“Tiada memberi jalan penyelesaian jangka pendek terhadap isu ditimbulkan ahli-ahli kami di dalam protes Jumaat lalu yang menuntut kerajaan memastikan syarikat penyedia perkhidmatan pengantar menjamin kebajikan mereka.

“Menteri lebih cenderung mewujudkan peraturan baharu untuk mengawal selia penunggang p-hailing di mana ahli-ahli kami bakal diwajibkan memiliki lesen GDL seperti mana yang dilaksanakan di dalam sektor e-hailing.

“Kenyataan menteri itu tidak sensitif terhadap harapan dan tuntutan ahli-ahli kami dan keadaan tersebut bakal memberi kesan tidak baik sokongan kami kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong tidak menolak kemungkinan penunggang dan pemandu p-hailing perlu mendapatkan GDL sebagai syarat untuk bekerja dalam industri ekonomi gig itu.

Selain itu, kerajaan juga akan meminda had umur penunggang p-hailing atau motosikal penghantaran barangan kepada tidak kurang dari 18 tahun berbanding 21 tahun ketika ini.

Lebih malang katanya, pekerja ekonomi gig itu menaruh harapan tinggi kepada kerajaan supaya mengawal selia syarikat pengantar yang selama ini melakukan penindasan, namun MOT lebih berminat untuk menjana kewangan hasil GDL.

“Perkara yang berlaku di dalam sektor e-hailing bakal berlaku di dalam sektor p-hailing. Selagi MOT tidak mahu belajar daripada kesilapan, selagi itulah segala masalah yang melanda industri tidak akan dapat diselesaikan secara telus.

“MOT dahulu bukan sahaja gagal menaik taraf industri perkhidmatan awam, dan menjaga kebajikan pemain industri, bahkan gagal menyelesaikan segala masalah pemain industri dan ditindas syarikat kapitalis,” katanya.

Katanya lagi, niat baik MOT untuk memberi kursus keselamatan kepada pekerja ekonomi gig sebenarnya boleh dilaksanakan dengan cara lain bukannya dengan mewajibkan memiliki GDL.

“Ini kerana ketetapan tersebut bukan hanya akan membebankan ahli-ahli kami malah tidak mustahil demi menjaga kepentingan syarikat-syarikat p-hailing.

“Segala syarat dan peraturan yang selama ini untuk memastikan keselamatan akan dilonggarkan seperti yang telah dilakukan kepada Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“Lesen tersebut kini boleh disifatkan sebagai tidak ada kualiti dan hanya untuk menyumbang kepada keberhasilan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette