Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang disyaki didera di sebuah pusat terapi berbayar di Skudai di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan itu sudah diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

Siasatan kes itu selesai selepas pihaknya menerima laporan daripada pakar perubatan awam berhubung kecederaan kanak-kanak itu.

“Ini penting bagi mengesahkan sama ada kecederaan kanak-kanak berusia enam tahun itu akibat didera atau faktor lain,” katanya hari ini.

Pada 30 Julai lalu, seorang ibu mendakwa anak istimewanya yang dihantar untuk menjalani terapi disyaki didera ahli terapi di sebuah pusat terapi sejak awal tahun ini.

Suri rumah, Nik Huzaiwati Husin, 33, dipetik sebagai berkata, beliau menghantar anak sulungnya itu untuk menerima rawatan di pusat berkenaan sejak November 2019.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum penjara maksimum hingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette