ALOR GAJAH – Seorang wanita hamil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan memperdaya pembelian rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak wujud, hujung tahun lalu.
Tertuduh Farizirah Safarizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Hayatun Nufus Tamdjuri Adydarsono, 32, untuk pembayaran pendahuluan sebuah unit PR1MA Residensi A Famosa dan bayaran kos penyelenggaraan tidak wujud bernilai RM6,350 yang dibuat secara berperingkat antara 31 Januari hingga 28 Februari 2022.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama sehingga mendorong mangsa Siti Ida Hassan, 37, menyerahkan wang tunai berjumlah RM5,500 di kawasan pembinaan rumah PR1MA Residensi A Famosa, Alor Gajah pada Disember tahun lalu
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak bekerja dalam rayuannya bagaimanapun meminta mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan sedang mengandung, selain perlu menjaga ibunya yang menghidap kanser payudara.
Mahkamah kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 September ini sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette