Ramli (depan) menunjukkan rokok seludup bernilai RM7.35 juta termasuk nilai cukai yang dirampas pihaknya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mengagalkan cubaan sebuah syarikat menyeludup masuk 10.2 juta rokok putih yang diisytiharkan sebagai cendawan tin menerusi Pelabuhan Klang.

Kegiatan syarikat persendirian yang berpangkalan di ibu negara itu terbongkar selepas Cawangan Siasatan Khas bersama Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pulau Pinang serta Unit Kawalan Kontena Pelabuhan Klang menahan sebuah kontena di pelabuhan tersebut pada 1 Ogos lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdul Halim Ramli berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena terbabit membawa kepada penemuan 1,021 kotak besar rokok berisi 10.2 juta batang putih disyaki tidak bercukai untuk dipasarkan sekitar negeri di bahagian utara negara.

Ramli.

Kata beliau, nilai rokok yang dirampas adalah RM816,800 manakala nilai cukai terlibat dianggarkan RM6.54 juta menjadikan nilai keseluruhan rampasan adalah RM7.35 juta.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kontena tersebut dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ia diimport oleh sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur.

“Melalui dokumen-dokumen yang diperoleh, dagangan ini disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam negeri di Bagan Jermal di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai modus operandi, Abdul Halim berkata, pemilik rokok seludup itu membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan sebagai cendawan tin dalam borang kastam bagi mengelak kegiatannya dihidu.

Rokok yang dirampas dipercayai untuk pasaran negeri di utara negara.

“Mereka (penyeludup) cuba mengelirukan kita sehingga memerlukan pihak kami menyiasat pengirim serta penerima sebenar.

“Apa yang boleh saya maklumkan setakat ini, alamat penerima mengelirukan dan kewujudan syarikat juga diragui. Ini susulan apabila kita melawat syarikat itu, kita dapati semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan ia berstatus nomad.

“Sehubungan itu, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat,” jelas beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1)(g) akta sama serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976. – MalaysiaGazette