Mohd Hayati (tengah) mengadakan pertemuan dengan penganjur KFW22, Majlis Bandaraya Alor Setar serta Pejabat Daerah Kota Setar hari ini.

ALOR SETAR – Individu memperagakan pakaian menjolok mata pada Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) bukan peserta yang dijemput untuk memperagakan pakaian dalam acara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ia dilakukan secara peribadi oleh individu terbabit selepas pertunjukan fesyen itu tamat.

Jelas beliau, status individu tersebut diperoleh selepas pihaknya mengadakan perjumpaan dengan penganjur acara iaitu Aman Central,  Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Identiti individu itu juga difahamkan adalah seorang mak nyah yang berlakon seperti seorang model, menggayakan pakaian yang tidak sesuai, mengambil gambar dan video serta memuat naik ke media sosial.

Gambar tular menunjukkan seorang individu memperagakan pakaian menjolok mata di KFW22.

“Tindakan individu berkenaan dipercayai adalah tindakan peribadi yang dilakukan setelah acara pertunjukan fesyen berkenaan tamat.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan dan undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Tambah Mohd Hayati, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mengkaji bagi memperkemaskan Peraturan-peraturan kecil berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya dan tatasusila di negeri ini.

Semalam, tular gambar seorang model wanita yang berpakaian menjolok mata pada KFW22 di sebuah pusat membeli-belah di sini.

Gambar tular di media sosial itu mendapat kritikan daripada orang ramai yang mempersoalkan kepimpinan kerajaan negeri yang ditadbir Pas. – MalaysiaGazette