KUALA LUMPUR – Polis diminta supaya menyiasat semula kes kematian pemilik akaun Tiktok popular, mendiang Shashikala Nadarajah yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Ini kerana, walaupun laporan awal polis menyebut tidak ada kes jenayah dan mangsa tidak membuat laporan berkenaan gangguan buli siber, namun, siasatan perlu dibuat kerana dalam salah satu rakaman, mendiang ada menyebut pernah diganggu secara seksual oleh seorang Presiden NGO, kata Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Malaysia, Mastura Mohamad Darby.
Beliau berkata, mendiang pernah mendedahkan mengenai perkara itu meskipun media melaporkan mangsa telah dibuli secara siber melalui komen-komen video yang disiarkan dalam posting-postingnya.
“Srikandi Bersatu memandang berat terhadap meningkatnya kes-kes membunuh diri yang melibatkan mangsa gangguan seksual dan buli siber akibat gangguan dan komen-komen negatif yang menyebabkan tekanan perasaan dan gangguan mental kepada mangsa.
“Orang ramai yang menghadapi tekanan emosi perlu membuang stigma takut berkongsi masalah peribadi serta memendam perasaan dalam diri, sebaliknya mendapatkan sokongan dan pemulihan psikososial yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan ibu kepada tiga anak itu “dibuli secara siber” berkaitan penampilan dan koleksi beg tangannya di akaun media sosial.
Beberapa pengguna TikTok turut menyalahkannya kerana diganggu secara seksual, melalui komen pada video yang dia siarkan.
Polis memaklumkan Shashikala meninggal dalam perjalanan ke hospital dari rumahnya di Subang Jaya, Selangor dan mendiang dipercayai cuba membunuh diri.
Wanita itu mempunyai lebih 30,000 pengikut di TikTok dan dia sering berkongsi pandangannya tentang pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah.
Videonya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Tamil.
Sementara itu, Mastura memohon agar netizen berhemah dan bertanggungjawab apabila menggunakan laman sosial terutama apabila menulis komen-komen.
Katanya, laman sosial perlu dijadikan tempat membuat kebaikan serta menjalin hubungan kemanusiaan yang sihat bukan tempat yang membawa tekanan dan masalah dalam kehidupan. – MalaysiaGazette