Penyanyi, Zamani Slam bercakap pada sidang media Konsert Mustika Seni di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 10 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Zamani akan menjalani pembedahan tulang belakang pada November ini yang dijangka mengambil masa hingga 10 jam.

Dia yang berusia 51 tahun memberitahu, kos pembedahan tulang belakang itu dianggarkan mencecah RM100,000.

Ketika ini kata vokalis kumpulan Slam itu, dua hospital swasta bakal menjalani pilihannya di mana keputusan terakhir pemilihan akan dibuat dalam masa terdekat ini.

“Doktor maklum bermula Oktober saya sudah boleh dibedah di mana ia dijangka mengambil masa antara lapan ke 10 jam. Tempoh masa proses pemulihan pula bergantung kepada kondisi badan saya.

“Sekarang ini, saya hanya menghabiskan tawaran show yang sudah ditempah sehinga bulan Oktober ini dan saya tidak lagi menerima show baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media konsert amal Rhythm of Legends di Istana Budaya di sini hari ini.

Penyanyi, Zamani Slam ketika sesi fotografi selepas sidang media Konsert Mustika Seni di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS 2022.

Sementara itu, Zamani atau pemilik nama lengkap Zamani Ibrahim menambah, keadaan tulang belakangnya kini semakin membengkok sehingga menghimpit tulang rusuk kanan.

Justeri katanya, selama ini dia hanya bergantung dengan ubat tahan sakit tetapi bimbang andainya tindakan tersebut akan menyebabkan perkara lain berlaku.

“Kalau ikutkan memang saya tidak mahu nak buat pembedahan dan sudah mencuba banyak kaedah rawatan. Sampai bila hendak bergantung dengan ubat. Sakit itu datang tidak tentu masa namun kebiasaannya ketika tidur malam,” ujarnya lagi.

Zamani Slam turut mengakui sebenarnya takut untuk menjalani pembedahan bagi merawat penyakit tulang belakang melengkung atau skoliosis yang dihidapi sejak 2015.

Malah dia direda apabila dimaklumkan kesihatan untuk kembali pulih sepenuhnya mungkin tidak 100 peratus.

Akhir bulan, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi bertemu Zamani dan memaklumkan tentang penyerahan sumbangan orang ramai untuk kos pembedahannya.

Sehingga kini, Aznil sudah pun memindahkan sejumlah lebih RM120,000 ke dalam akaun Zamani hasil sumbangan orang ramai yang ikhlas membantunya.

Zamani sebelum ini mendedahkan, keadaan tulangnya yang membengkok sekarang mungkin bermula daripada kejadian jatuh terlentang akibat tergelincir di dalam bilik air satu ketika dahulu.

Penyakit tulang belakang melengkung atau skoliosis dihidapi Zamani semakin serius sejak 2015 sehingga keadaan tubuhnya yang membengkok tidak dapat disembunyikan lagi daripada peminat. – MalaysiaGazette

Penyanyi, Datuk Hattan ketika sesi fotografi selepas sidang media Konsert Mustika Seni di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS 2022.