MELAKA – Seorang ibu hamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya yang berada dalam jagaannya selama empat bulan sehingga berisiko mendatangkan kecederaan tahun lalu.

Tertuduh, Masanizah Roslan, 40, membuat pengakuan terbabit selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa mendedahkan ketiga-tiga anaknya masing-masing berusia 11, 8, dan 6 tahun ketika kejadian tanpa jagaan yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana, dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Mei sehingga 23 September 2021.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh berdepan dakwaan mendedahkan semua mangsa bagi kesalahan serupa di alamat sama pada 16 Jun sehingga 18 Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari meminta mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah dan tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana sedang hamil, mengalami alahan selain bergaji kecil.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 12 September untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam bela oleh tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast