Sebahagian badan bukan kerajaan (NGO) memegang poster bantahan pada sidang media untuk menyatakan bantahan rasmi kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkaitan kawasan larangan merokok di tempat awam di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 10 JANUARI 2020

KERAJAAN melakukan usaha yang baik untuk mengharamkan rokok untuk individu yang lahir selepas tahun 2005 meskipun menerima tentangan hebat daripada sesetengah golongan, terutamanya perokok, pengeluar dan penjual tembakau. Seperti yang
kita tahu bahawa merokok bukan sahaja memberi kesan buruk kepada perokok itu sendiri namun memberi kesan yang lebih buruk kepada orang yang terdedah kepada asap rokok.

Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit serius yang boleh membawa maut, seperti kanser, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, diabetes, dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD). Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tembakau membunuh lebih daripada 8 juta orang setiap tahun, dan berdasarkan angka ini, perhatian yang serius dan khusus harus dierikan bagi membendung jumlah kematian yang terlalu tinggi.

Meskipun sudah banyak kempen yang dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan jumlah perokok terutamanya golongan remaja, namun trend perokok dari golongan itu masih menunjukkan peningkatan yang berterusan, dan ini menunjukkan petanda buruk untuk generasi akan datang.

Sekiranya tiada usaha dan undang-undang yang betul untuk membendung masalah ini, jumlah kematian akibat merokok akan terus meningkat. Di Malaysia, kos rawatan pesakit yang menghidap penyakit akibat rokok berjumlah RM6.2 bilion pada 2020, dan dianggarkan meningkat kepada RM8.77 bilion pada 2030.

Ada golongan yang tidak bersetuju dengan usaha kerajaan itu dengan memberi hujah bahawa ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi kerana pengeluar tembakau terpaksa menggulung tikar, dan lantaran itu pekerja dalam industri tersebut akan
menganggur. Hasil kerajaan akan menurun serta perbelanjaan kerajaan untuk memacupertumbuhan ekonomi dan pembangunan turut terkesan.

Namun hujah tersebut adalah tidak benar kerana kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih besar untuk merawat pesakit yang menghidap penyakit akibat merokok daripada hasil kutipan cukai ke atas tembakau. Ini menunjukkan bahawa satu pembaziran yang besar sekiranya tidak dibendung segera dan kutipan cukai “dosa” itu adalah sama sekali tidak berbaloi. Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat.

Sememangnya sudah banyak negara, termasuk Malaysia, telah mengenakan cukai ke atas rokok untuk mengurangkan kuantiti yang diminta terhadap rokok, namun usaha tersebut tidak membuahkan hasil kerana masih ramai golongan remaja merokok. Dalam ekonomi, permintaan rokok adalah dikatakan tidak anjal.

Ia membawa maksud meskipun harga meningkat tinggi, kuantiti yang diminta untuk rokok hanya terjejas sedikit sahaja dan ini telah dibuktikan oleh banyak kajian di banyak negara, seperti Amerika Syarikat, Thailand dan lain-lain. Justeru, larangan merokok dan penguatkuasaannya amat penting bagi memastikan usaha membebaskan Malaysia daripada asap rokok membuahkan hasil.

Dr Mohd Shahidan Shaari
Faculty of Applied and Human Sciences
Universiti Malaysia Perlis