KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda, Zamani, 51, akan mengadakan Konsert Doa Buat Zamani di Zepp KL sebelum menjalani pembedahan tulang belakang pada November ini. Vokalis Slam itu berkata, konsert tersebut bertujuan bertemu dengan peminatnya. “Kita doakan baik-baik kerana saya juga tidak tahu apa yang akan berlaku. “Jadi, ia diadakan agar peminat dapat mendoakan saya. Saya juga menjual tiket bagi mencari dana sampingan, tetapi apa yang penting niat mengadakan konsert untuk mendoakan saya. “Tarikh belum ditetapkan, tetapi Insya-Allah awal November. Saya cuba dapatkan Slam. “Jika mereka sudi, saya memang mengalu-alukan, namun kalau tak boleh, saya akan jemput sebagai tetamu istimewa,” katanya selepas sidang media konsert amal Rhythm Of Legends di Istana Budaya semalam.

Penyanyi, Zamani Slam ketika sesi fotografi selepas sidang media Konsert Mustika Seni di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 OGOS 2022.

Zamani menderita penyakit skoliosis iaitu tulang belakang melekung sejak 2015. Tulang belakangnya kini sudah mencucuk tulang rusuk dan menghimpit jantung di mana dia perlu melakukan pembedahan segera. Sebelum pembedahan itu, Zamani menjayakan konsert amal Rhythm Of Legends pada 29 dan 30 Oktober. Zamani berkata, dia teruja menjayakan konsert anjuran syarikat pengurusan, S Excellent dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Drug Free Malaysia yang bakal berlangsung di Dewan Plenari KLCC. Ia turut menampilkan penyanyi popular lain seperti Datuk Hattan, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol. Tiket menyaksikan Konsert Rhythm of Legends itu sudah mula dijual menerusi www.myticket.asia. – MalaysiaGazette