Siti Zabedah Kasim

KUALA LUMPUR – Parlimen Batu dijangka menjadi antara kerusi paling panas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana dikatakan menjadi tumpuan ramai calon bebas.

Cakap-cakap politik mula berlegar apabila antara yang bakal menawarkan diri untuk bertanding adalah peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Zabedah Kasim yang dikenali Siti Kasim.

Selain itu difahamkan sekurang-kurang tujuh calon bebas bakal menawarkan diri selain calon dari parti-parti lain di kawasan yang sama.

Parlimen Batu dianggarkan memiliki seramai 112,000 pengundi selepas diambil kira pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

Pecahan undi mengikut kaum di kawasan itu adalah Melayu sebanyak 43 peratus, Cina (30 peratus), India (20 peratus) dan lain-lain tujuh peratus.

Ia merupakan kubu kuat PKR di mana sejak 2008, Tian Chua telah memegang selama dua penggal namun pada 2018 kerusi itu dimenangi oleh calon bebas , M. Prabakaran dengan majoriti yang tinggi selepas Tian Chua tidak layak bertanding ketika itu.

Selepas memenangi kerusi itu pada PRU-14, Prabakaran telah menyertai PKR.

Beliau dijangka bertanding semula di Parlimen Batu berdasarkan kekuatan sebagai wakli rakyat pada hari ini apatah lagi berjaya mengalahkan Tian Chua untuk jawatan Ketua Cabang PKR baru-baru ini.

Namun selain calon Bebas, Prabakaran dijangka menerima saingan daripada Parti Gerakan selepas keluar dari komponen Barisan Nasional dan menyertai Perikatan Nasional.

Pada masa sama, kerusi Parlimen Batu juga menjadi idaman menjadi rebutan antara UMNO dan MCA. Bagaimanapun MCA Batu dilihat kurang aktif dan ini tidak meyakinkan untuk meletakkan calon di situ.

Datuk Seri Yahaya Mat Ghani.

Baru-baru ini, difahamkan MCA Batu membawa resolusi untuk mengambil kerusi Parlimen Batu dengan mempertengahkan Datuk Yeu Tiong Look  yang lebih kenali YTL sebagai calon dari Bahagian Wangsa Maju.

Bagaimanapun usaha itu dilihat sukar kerana Datuk YTL tidak pernah kelihatan di Parlimen Batu apatah lagi untuk bertanding sebagai calon payung terjun.

Perikatan Nasional pula diramal akan memberi laluan kepada calon bukan Melayu iaitu S. Gobi Krishnan yang merupakan Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Parti Bersatu yang juga Ketua Sayap Bersekutu Parti Bersatu Parlimen Batu.

Bagi UMNO, parti itu mempunyai beberapa pilihan calon seperti Datuk Seri Yahaya Mat Ghani yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Batu selama tiga penggal.

Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO dan Barisan Nasional.

Nama Gulam Muszaffar Gulam Mustakim juga boleh ditonjolkan sebagai kerana beliau memiliki kelebihan sebagai bekas Ketua Pemuda Bahagian dan kini adalah Setiausaha UMNO Bahagian Batu.

Beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Parlimen Batu selain rajin menjalankan tugas- tugas peringkat Bahagian UMNO.

Arabath Ali Arul Alavudeen.

Kejutan mungkin berlaku Arabath Ali Arul Alavudeen menjadi pilihan UMNO kerana beliau juga terkenal di Parlimen Batu dengan kerja-kerja kebajikan dan kerja amal melalui Pertubuhan Kebajikan ARABATH Kuala Lumpur

Merupakan seorang akauntan dan ahli perniagaan, beliau juga bergiat aktif dalam persatuan dan dewan perniagaan.

Antara kelebihan Arabath untuk diangkat sebagai calon kerana  mempunyai latar belakang keturunan India Muslim yang menyebabkan beliau fasih bertutur bahasa Melayu dan bahasa Tamil.

Faktor itu mungkin  menjadi daya tarikan masyarakat Melayu dan India yang menjadi kelebihan kerana biasanya calon di Batu adalah bukan Melayu dan pengundi bukan Melayu lebih ramai dari pengundi Melayu. – MalaysiaGazette