Dr Santhara Kumar

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Dr Santhara Kumar mengalu-alukan penganjuran Konsert Rakyat Melaka pada 3 September depan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Konsert Rakyat Melaka bakal dianjurkan oleh Jojo Events yang diterajui oleh Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir atau lebih terkenal dengan jolokan Tan Sri Jojo.

Kata Santhara ketika dihubungi, inisiatif positif itu sememangnya mendapat sokongan dari pejabatnya.

“Saya telah difahamkan jawatankuasa penilai sudah menerima permohonan tersebut dan saya yakin ianya akan dinilai secara adil oleh jawatankuasa mengikut garis panduan.

“Tetapi jawatankuasa itu mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau menolak permohonan itu. Seandainya lulus, berapakah jumlah serta syarat tertakluk pada Geran Padanan Pelancongan ataupun Geran Padanan Kebudayaan (GSSK).

“Ingin saya tegaskan, pejabat menteri dan timbalan menteri tidak terlibat dalam proses kelulusan sebaliknya kuasa mutlak itu terletak pada jawatankuasa tersebut.

“Secara peribadi dan prinsip, saya memang mengalu-alukan inisiatif ini yang pastinya akan membantu industri hiburan, kebudayaan dan pelacongan secara tidak langsung, malah saya juga difahamkan Exco Pelancongan Melaka juga menyokong usaha Konsert Rakyat Melaka ini,” katanya.

Malam tadi, MOTAC dalam satu kenyataan menegaskan pihaknya tidak ada sebarang kaitan dengan penganjuran Konsert Rakyat Melaka yang diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Yang Di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-73.

Dalam kenyataan MOTAC itu juga mendedahkan menerima permohonan daripada Jojo Events untuk bekerjasama bagi konsert tersebut sebaliknya syarikat itu hanya mengemukakan permohonan GSSK bagi penganjuran program itu.

Dalam pada itu, Santhara menegaskan, penggunaan logo ‘Cuti-Cuti Malaysia’ perlu dipohon secara rasmi terlebih oleh mana-mana penganjur daripada Unit Komunikasi MOTAC dan mendapat permohonan bertulis.

Sementara itu, ketika menghubungi Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani berhubung penganjuran Konsert Rakyat Melaka ini, beliau berkata, kerajaan negeri akan menyokong apa sahaja usaha mengaktifkan kegiatan pelacongan di Melaka secara amnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MOTAC tiada kaitan dengan Konsert Rakyat Melaka