Chan Eng Leong didakwa atas lapan pertuduhan penipuan saham syarikat membabitkan jumlah kerugian hampir RM1.9 juta di Mahkamah Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas lapan pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat membabitkan saham hampir RM1.9 juta pada tiga tahun lalu.

Tertuduh, Chan Eng Leong, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Khalid Abdul Karim dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Berdasarkan lapan pertuduhan terhadap Eng Leong, dia didakwa menipu Goh Kim Heong, 39 yang juga Pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd dengan memperdayakan lelaki itu untuk menyelesaikan kes cukai rokok dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tertuduh dengan curangnya telah mendorong Kim Heong memindahkan 1,810,020 unit saham bernilai keseluruhan RM1,895,020 kepada syarikat Natural Transforms Sdn. Bhd milik tertuduh.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dihadapkan ke atasnya.

Eng Leong didakwa melakukan kesalahan itu antara April hingga Ogos 2019 di Nombor 29, Green Hall, George Town di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Chew Qi Wei, Teh Li Siew, Mohd Shahrezal Mohd Shukri dan Mohammad Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam, R.S.N. Rayer.

Semasa prosiding, DPP menawarkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh namun Rayer meminta jaminan dikurangkan susulan anak guamnya masih menjalani prosiding kes sama membabitkan tiga mahkamah termasuk Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Seberang Perai.

Jelas Rayer, anak guamnya juga sudah membayar wang jaminan berjumlah RM450,000 bagi prosiding kes di mahkamah terbabit selain mempunyai tanggungan anak serta tiga anak yang masih dibangku sekolah serta universiti.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM230,000 bagi lapan pertuduhan terhadap Eng Leong dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan yang mana memerlukan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, lapor diri kepada pegawai penyiasat kes setiap bulan dan dilarang berjumpa serta mengganggu pengadu, saksi kes.

Kes akan disebut semula pada 27 September depan. – MalaysiaGazette