Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berucap pada Majlis Perasmian Laman Watani Yayasan Waqaf Malaysia di Laman Watani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 12 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad mengarahkan Kerajaan Negeri Kedah mengambil tindakan segera ke atas penganjur Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW22) selepas menampilkan model dengan pakaian yang menjolok mata.

Beliau menegaskan, ia susulan tindakan pihak penganjur yang membuat pertunjukkan fesyen itu tanpa pengetahuan dan kebenaran daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sudahpun diberi amaran oleh Exco Kedah dan kerajaan tempatan, mereka buat (KFW2022) tanpa pengetahuan dan mungkin diambil tindakan, kalau perkara itu melanggar batasan.

“Saya dimaklumkan perkara itu melalui teks dengan MB (Menteri Besar Kedah) tengah malam, bila dapat maklumat itu, tanpa pengetahuan dan tanpa kebenaran, serta telah diberi amaran.

“Tindakan lanjut wallaua’lam daripada pihak berkuasa kerajaan tempatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, hasil semakan yang dibuat, pihak penganjur didapati tidak memohon permit dan tidak mendapat kelulusan PBT.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar model berpakaian menjolok mata pada KFW22 di sebuah pusat membeli-belah di Alor Setar, Kedah yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Ogos lalu.

Kerajaan Negeri Kedah juga mengesahkan pihaknya menerima aduan orang ramai mengenai penganjuran KFW2022 yang menampilkan model dengan pakaian yang menjolok mata.

Dalam pada itu, Idris juga menasihatkan umat Islam di negara ini agar berhati-hati dalam memuat kandungan di media sosial, sama ada hanya sebagai lakonan semata-mata mahupun perkongsian peribadi.

“Nasihat saya terutama dalam kalangan orang Islam, nak berlakon…nak apa kaa…kita suami isteri pun tak boleh tunjuk.

“Ini kita tiba-tiba duduk tunjuk dekat orang, dok pamer kepada orang, pada saya ini tidak ada akhlak.

“Nak berlakon, berlakon lah dengan cara baik, Alhamdulillah apabila filem Mat Kilau, maknanya masyarakat Malaysia ini nak filem yang ada mesej, masih ada akhlak dan etika. – MalaysiaGazette