ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut manakala dua lagi rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dipercayai akibat mabuk di Jalan Pulau Sebang dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, kenderaan dinaiki tiga sahabat terbabas sebelum berpusing beberapa kali dan melanggar tebing jalan mengakibatkannya remuk.
Tambahnya, pemandu dikenali S Nieranchan, 23, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tampin selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
“Dua lagi rakan mangsa, R Suthan, 22, dan G Senu masing-masing patah kaki dan paha kiri dan kedua-dua mangsa yang cedera kini dirawat di Zon Kuning, hospital sama.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu si mati dari Tampin menghala ke Alor Gajah hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Arshad, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa yang memandu di bawah pengaruh alkohol, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Ketika kejadian, cuaca baik dan keadaan jalan adalah lurus dan kenderaan terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan mekanikal.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987,” katanya. – MalaysiaGazette