PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis masih dalam proses mengenal pasti identiti seorang lelaki yang ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan pada badan di bahu jalan di Taman Alam Jaya, Puncak Alam, Kuala Selangor pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, mayat mangsa kini berada di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam bagi menjalani proses bedah siasat.

Kata beliau, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengenal pasti mendapatkan identiti lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu.

“Selepas memperolehi segala maklumat itu, barulah kita akan menyemak sama ada dia mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Bagaimanapun, Ramli tidak menolak kemungkinan motif kejadian mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan kes disiasat daripada semua aspek.

Semalam, Ramli dalam satu kenyataan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai insiden tembakan membabitkan seorang lelaki bermotosikal di Alam Jaya.

Katanya, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor telah bergegas ke lokasi kejadian di kawasan deretan rumah kedai satu tingkat itu menemui mangsa dalam keadaan tertiarap dan tidak bernyawa dengan sebuah motosikal Yamaha LC135 dipercayai ditunggang mangsa dijumpai di lokasi tersebut.

Pemeriksaan lanjut pasukan forensik polis menemukan kesan tembakan pada tubuh mangsa dan beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian itu. – MalaysiaGazette