KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengakui sukar untuk mengawal harga makanan bermasak dalam kalangan penjual dan peniaga di negara ini yang kini menjadi satu lagi masalah pengguna.

Oleh itu, pengguna perlu menentukam perbelanjaan mereka sendiri, kata Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof

”Apabila proses nilai tambah berlaku, maka kualiti makanan yang dimasak dan dijual oleh peniaga akan menentukan harga dan ia bergantung kepada pengguna – jenis makanan yang hendak dibeli mereka,” kata beliau dalam sidang media di pasar raya di Danau Kota di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir melancarkan Consumer Fun Ride dan Jualan Keluarga Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Tapak Parkir pasar raya Aeon BiG di Danau Kota yang turut disertai dan dijayakan oleh beberapa pemain industri perniagaan gergasi termasuk pasaraya terkemuka kawasan setempat.

Disebabkan faktor itu, adalah sukar untuk kerajaan bagi menentukan harga standard makanan yang sudah dimasak di pasaran.

Lagipun katanya, menu makanan yang dimasak dan disediakan sesebuah premis adalah berbeza mengikut ramuan yang digunakan kerana perbezaan itu yang mempengaruhi penentuan harga produk makanan yang dihidangkan kepada pengguna.

“Sebab itu adalah penting setiap jualan makanan ini perlu diletakkan tanda harga supaya pengguna dapat melihat adakah sesuai dia berbelanja untuk makanan itu atau memilih kedai lain.

“Dalan perkara ini, kuasa membeli memainkan peranan penting dan keputusan ada di tangan pengguna yang perlu lebih bijaksana dalam menentukan keperluan dan kehendaknya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast