Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO perlu bersepakat  dengan bergerak sederap langkah untuk membawa cerita kebaikan kerajaan Keluarga Malaysia dalam tempoh singkat sebelum menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, dalam usaha untuk memenangi PRU15, BN memerlukan tawaran baharu untuk memikat hati rakyat.

Tawaran-tawaran itu perlu lebih segar dan bersesuaian dengan situasi semasa, katanya.

“Jadinya, konvensyen kita pada hari ini sangat penting untuk kita menyemak, meniliti dan memfokus kepada isu-isu utama rakyat. Kita telah gerakkan dengan Pra Konvensyen Wanita di setiap negeri sejak Julai lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Noraini berkata, dalam siri-siri marathon Pra Konvensyen Wanita BN, tujuh segmen ditekankan meliputi pemerkasaan Pendidikan wanita, transformasi pengajian tinggi, pembangunan mampan ekonomi wanita, pembelaan agama dan kebajikan, pengukuhan wanita dalam pentadbiran, keutamaan keselamatan sosial wanita dan daya saing wanita dalam IT dan teknologi.

Resolusi-resolusi itui katanya, akan dibentang oleh wakil-wakil negeri, sebelum dirumuskan dan diserahkan kepada Presiden parti untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada manifesto atau Aku Janji Barisan Nasional menghadapi PRU15 nanti.

Dalam pada itu, Noraini menegaskan, BN beruntung kerana mempunyai pemimpin-pemimpin yang tidak lari meninggalkan gelanggang.

“Dengan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Tan Sri SA Vigneswaran dan Tan Sri Joseph Kurup, Barisan Nasional terus kekal relevan dan mempunyai tempat di hati rakyat.

“Tidak dilupakan juga kepada Pengerusi Jemaah Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang tidak jemu-jemu terus membantu kita memperkukuhkan parti,” ujarnya.

Tambahnya, beliau menyeru supaya Wanita BN bersedia mengorak langkah, menjadi tulang belakang yang mampu memberi kekuatan kepada perjuangan BN.

Katanya lagi, untuk terus relevan di hati rakyat, Wanita BN mesti sepakat, sepadu, sehati, sejiwa dan setia dalam perjuangan menghadapi peperangan PRU-15 nanti. – MalaysiaGazette